top of page

Kerajaan Sabah tidak akan laksanakan sebat di khalayak ramai

nabalunews



6 Januari 2025


KOTA BELUD: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan bahawa hukuman sebat di khalayak ramai tidak akan dilaksanakan di negeri ini, meskipun terdapat sokongan terhadap pelaksanaan hukuman tersebut daripada pihak tertentu.


Exco Agama Sabah, Datuk Dr. Arifin Arif, menyatakan bahawa pendirian Kerajaan Negeri adalah untuk mengekalkan bentuk hukuman yang sedia ada bagi kesalahan takzir, yang diserahkan kepada budi bicara pihak berkuasa agama.


"Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan takzir. Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak," katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, yang menyokong pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Kerajaan Negeri.


“Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa kenyataan Ustaz Haji Bungsu merupakan pendapat dan pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian Kerajaan Negeri,” tambahnya dalam kenyataan media.


Mufti Sabah sebelum ini dilaporkan menyokong pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai, menyatakan bahawa ia adalah selari dengan syariat Islam, seperti yang dilaksanakan di Terengganu baru-baru ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page