Kerajaan Setuju Penurunan Kuasa Kelulusan Cuti dari KPPA ke KSU

18 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menurunkan kuasa kelulusan bagi kemudahan cuti tertentu daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian bagi meningkatkan kecekapan dan kelancaran urusan pentadbiran perkhidmatan awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, penurunan kuasa KPPA kepada kuasa melulus yang lain turut membabitkan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian atau Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Pengurusan Kementerian atau Ketua Pengarah.
Katanya, perubahan berkenaan dibuat selaras dengan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1985 (SPP5/85) yang memberi kuasa kepada KSU bagi meluluskan beberapa kemudahan cuti.
“Antara jenis cuti yang kini boleh diluluskan oleh KSU Kementerian termasuk Cuti Sakit Lanjutan, Cuti Separuh Gaji atas sebab kesihatan keluarga, Cuti Tibi, Kusta dan Barah serta Cuti Tanpa Rekod untuk aktiviti tertentu,” katanya.
Menurutnya, penurunan kuasa itu bertujuan mempercepatkan proses kelulusan, meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memudahkan penyampaian perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, katanya, JPA telah menambah baik ceraian-ceraian bagi kemudahan cuti yang berkaitan bagi tujuan pelaksanaan.
“Pelaksanaan perubahan itu berkuat kuasa serta-merta berdasarkan tarikh yang dinyatakan dalam ceraian berkaitan,” katanya.
Comments