Wartawan Nabalu News
Kerajaan tambah RM10 juta peruntukan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan – PM
11 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk membantu rakyat yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan guaman yang adil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini adalah berdasarkan pengalamannya sendiri di penjara Sungai Buloh, di mana beliau melihat ramai banduan yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
"Kerajaan telah menubuhkan YBGK dan saya gembira mengetahui bahawa sejak mula beroperasi pada 2012, model itu telah menyaksikan ratusan ribu individu diwakili dalam prosiding jenayah.
"Pengalaman saya di Sungai Buloh, saya telah melihat ratusan banduan yang diberi peluang untuk membela diri mereka dalam perbicaraan yang adil. Oleh itu saya terdorong untuk mengumumkan satu lagi kenaikan RM10 juta bagi tujuan ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di ibu negara, pada Isnin.
Beliau juga menegaskan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kebebasan sistem kehakiman dan menekankan prinsip adil dan saksama sebagai ciri utamanya.
Tambah beliau, kerajaan akan mengkaji semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memberi lebih ruang dan perlindungan kepada pemberi maklumat.
"Sejarah negara kita dicemari oleh salah guna kuasa dan rasuah, ia juga ini telah meresap ke dalam masyarakat kita, kemajuan dan aspirasi negara dan menjejaskan asas tadbir urus yang baik.
"Kajian semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, bertujuan untuk meluaskan perlindungan dan ruang untuk pendedahan kepada agensi yang sesuai tanpa rasa takut akan hukuman," ujarnya.
Beliau juga menyifatkan kebebasan bermakna badan kehakiman memutuskan perkara di hadapan mereka secara saksama berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang tanpa sekatan, pengaruh, tekanan ancaman atau campur tangan mana-mana pihak.
Comments