top of page

Kerajaan Teliti Langkah Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan WP Labuan

nabalunews

25 Februari 2025


KOTA KINABALU: Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) telah meneliti cadangan dan syor kajian penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua Hasil Laporan Akhir Kajian Penstabilan Harga bagi Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah dibentangkan.


Katanya, JPH telah meneliti cadangan inisiatif dan syor UMS dan UNIMAS melibatkan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memperkasa rantaian bekalan dan menstabilkan harga makanan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.


“Antara isu dalam kajian ini ialah faktor-faktor utama yang mempengaruhi harga barangan keperluan seperti isu logistik dan pengangkutan, kos input dan pengeluaran serta kapasiti pengeluaran rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, laporan tersebut turut memberikan syor jangka pendek, sederhana dan panjang untuk perlaksaaan kementerian, agensi kerajaan dan pemain-pemain industri berkaitan.


“Inisiatif dan syor dalam laporan akhir ini diharapkan dapat membantu kerajaan persekutuan dan negeri sebagai asas merangka langkah-langkah susulan dalam memperkasa rantaian bekalan makanan dan menstabilkan harga makanan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan,” katanya.


Sementara itu, Armizan berkata, JPH bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Teknikal bagi merangka langkah susulan terhadap cadangan dan syor yang dikemukakan.


"Penubuhan jawatankuasa ini akan memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kerja," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page