Kerajaan tidak benarkan kenaikan tarif elektrik hingga jadi bebanan rakyat - PM Anwar
27 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik menjadi bebanan dan menjejaskan rakyat.
Jelas beliau, kenaikan (seperti mana dahulu) hanya melibatkan golongan atasan atau mahakaya.
"Mengenai pengumuman TNB berhubung kenaikan elektrik, tadi saya sudah hubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab untuk minta TNB memberi penjelasan.
"Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dahulu itu hanya membabitkan golongan atasan yang saya sebut mahakaya atau pun industri yang mencatat keuntungan.
“Jadi dari segi dasar, saya faham keperluan naik tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Hana, Langkawi di Kedah, pada Jumaat, lapor Astro Awani.
Menurut TNB kepada Bursa Malaysia semalam, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.
Perubahan itu akan berlaku di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Bagaimanapun, untuk enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.
Opmerkingen