top of page
  • nabalunews

Kereta cuba rempuh polis ditembak


4 Oktober, 2024


KOTA KINABALU: Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu laju melawan arus dan cuba merempuh kenderaan polis di Jalan Tuaran berhampiran stesen minyak Pekan Telipok, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki terbabit dipandu secara merbahaya termasuk cuba merempuh kereta peronda polis (MPV).


Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kejadian disedari kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 9.29 malam semalam.


Katanya, pasukan MPV IPD Tuaran yang menerima maklumat terus ke lokasi untuk membantu.


“MPV polis cuba menahan dan menghentikan kereta yang dinaiki dua orang suspek berkenaan, bagaimanapun, suspek bertindak memecut dan cuba merempuh kenderaan polis.


“Bertindak balas daripada kejadian berkenaan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Noraidin berkata, tujuan tembakan dilepaskan untuk menghentikan kenderaan serta mempertahankan diri dan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain.


Katanya, kenderaan yang dipandu laju menghala ke Taman Sri Rugading itu akhirnya berjaya dihentikan.


Menurut beliau, dua suspek rakyat tempatan berusia lingkungan 30an yang cuba melarikan diri akhirnya berjaya ditahan.


“Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui peralatan menghisap dadah jenis syabu,” katanya.


Noraidin berkata, semakan pihak polis mendapati kedua-dua orang suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.


“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.


Sementara itu, Noraidin berkata, pihak polis menasihatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan mengganggu siasatan pihak polis.


Katanya, sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil di Balai Polis Tuaran atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Comentários


bottom of page