top of page

Kereta Dihempap Kayu Balak, Pemandu dan Penumpang Selamat

nabalunews

20 Februari 2025


TAWAU: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki tiba-tiba dihempap kayu balak yang terjatuh dari lori di arah bertentangan.


Dalam kejadian di Jalan Merotai-Kalabakan, Sungai Udin, jam 4.30 petang itu, penumpang Toyota Hilux yang juga wanita sarat mengandung dikejarkan ke Hospital Tawau dan dilaporkan stabil.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan namun dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan.


Katanya, hasil siasatan awal, lori yang membawa muatan kayu balak itu bergerak dari arah Kalabakan Merotai menuju ke Log-Pond.


“Manakala pasangan suami isteri berusia 31 dan 35 tahun yang menaiki Toyota Hilux pula bergerak dari arah bertentangan.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, salah satu kayu balak muatan lori berkenaan tiba-tiba terjatuh dan terus menghempap kereta mangsa.


“Kayu balak berkenaan menghempap bahagian enjin kereta dan menyebabkan pemandu dan mangsa wanita sarat mengandung terkejut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, bimbang dengan keadaan kandungannya, mangsa terus dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan diletakkan dalam zon kuning.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu tanpa kecermatan hingga menyebabkan kemalangan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page