top of page
nabalunews

Kerjasama Komuniti, Kerajaan dan Swasta: Kempen Derma Darah Berjaya Dilaksanakan di Kampung Masolog


11 Disember 2024


KOTA MARUDU : Kempen Derma Darah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) Kampung Masolog dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Kota Marudu di Kampung Masolog di sini berjaya mengumpulkan 14 beg darah jenis A dan O yang amat diperlukan pesakit.


Selain kempen derma darah, turut diadakan demonstrasi pertolongan cemas Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) serta penggunaan Automated External Defibrillator (AED) dalam program pada 8 Disember lalu ini.


Program ini dirasmikan oleh Pillexson James, Pengarah Urusan Sasaran Progressive Solution yang juga Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu.


Dalam ucapannya, Pillexson memuji inisiatif tersebut yang bukan sahaja membantu hospital menambah bekalan darah tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang teknik menyelamatkan nyawa.


Menurut Pengerusi KRT Kampung Masolog, Mohd. Asmawi Majingkin, kempen ini berjaya mengumpulkan 14 beg darah daripada kumpulan A dan O dalam kempen derma darah yang dikendalikan oleh Ketua Unit Tabung Darah Hospital Kota Marudu, Debra Gabriel dan pasukan Unit Tabung Darah Hospital Kota Marudu.


“Keutamaan diberikan kepada darah kumpulan A dan O kerana bekalan darah kumpulan B masih mencukupi,” kata Asmawi.


Selain itu, demonstrasi CPR dan penggunaan AED oleh Nul Hamid dari Persatuan St. John Ambulance Malaysia, Kawasan Pantai Selatan Tengah Sabah, turut mencuri perhatian.


Ramai penduduk mengambil peluang mempelajari teknik penting ini secara percuma, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang bagaimana menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan.


Asmawi turut mengucapkan penghargaan kepada Pillexson atas kehadiran dan sumbangan dana yang memastikan program ini berjalan lancar.


Beliau turut berterima kasih kepada Datuk Hendrus Anding, Pembantu Menteri 1 Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, atas sokongan dana yang membolehkan acara ini direalisasikan.


Jamil Majingkin, Pengerusi Persatuan Kebajikan Progressive Kota Marudu merangkap Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, turut menyumbang melalui bantuan persatuan.


Bagi penganjur, program ini bukan sahaja menyumbang kepada keperluan bekalan darah tetapi turut memberi impak besar kepada pendidikan masyarakat tentang aspek kesihatan dan keselamatan.


"Kehadiran ramai penduduk menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap pentingnya CPR dan penggunaan AED, terutamanya dalam menyelamatkan nyawa," kata penganjur.

Comments


bottom of page