Kerjasama penduduk selesaikan masalah jambatan rosak

20 Februari 2025
PENAMPANG: Penduduk Kampung Babagon, Kg. Timpangoh Babagon dan Kg.Lutung bekerjasama mengadakan gotong-royong bagi menyelenggara jambatan gantung yang menghubungkan tiga kampung berkenaan.
Kerjasama itu diambil bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jambatan berkenaan.
Ketua Bahagian UPKO Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin yang menyampaikan sumbangan untuk tujuan itu semasa program turun padang beliau berkata, kerjasama ini adalah contoh kemasyarakatan terbaik.

Katanya, semangat kemasyarakatan dan perpaduan antara penduduk dari tiga kampung wajar diberikan pujian.
“Sungguh mengharukan dan membanggakan melihat semangat kemasyarakatan serta perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Babagon, Kg.Timpangoh Babagon, dan Kg.Lutung.
“Usaha gotong-royong mereka untuk membaikpulih jambatan gantung berhampiran Jabatan Perikanan, Babagon, adalah contoh terbaik bagaimana kerjasama dan sumbangan bersama dapat menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurutnya, sebaik mengetahui mengenai usaha itu, beliau bersetuju untuk menyalurkan bantuan dari segi bahan binaan dan dana untuk menjayakannya.
Katanya, UPKO Penampang juga membuktikan betapa pentingnya sokongan semua pihak dalam menjayakan sesuatu projek komuniti.
“Ini adalah bukti nyata bahawa semangat kejiranan dan keprihatinan masih kukuh dalam kalangan masyarakat.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat. Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada komuniti lain untuk bekerjasama dan saling membantu
“Tuhan memberkati setiap langkah dan usaha semua. Teruskan semangat perpaduan dan kemasyarakatan yang mulia ini,” katanya.
Comments