Kerjasama PH-BN Wajar Diteruskan - PM
2 November 2024
BUKIT MERTAJAM: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) wajar diteruskan dalam pilihan raya akan datang bagi memastikan kestabilan politik yang dinikmati negara ketika ini terus berkekalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, dalam keadaan politik semasa, amat sukar bagi mana-mana parti untuk memperoleh majoriti yang selesa. Tambahan pula, sejak dua tahun kebelakangan ini, Malaysia telah dianggap sebagai salah satu negara paling stabil di rantau ini.
"Ini yang menyebabkan apabila kita mohon untuk menyertai BRICS, dalam kalangan 30 negara yang memohon, Malaysia merupakan antara yang paling mudah diterima oleh negara-negara asal BRICS," katanya.
Anwar berkata kestabilan itu juga menyebabkan Malaysia berupaya memiliki dasar yang jelas dari segi pelan digital, semikonduktor, transisi tenaga dan sebagainya.
Beliau berkata dasar berkenaan pula disokong oleh pentadbiran efisien dengan pelantikan Ketua Setiausaha Negara baharu, yang mahukan perubahan dalam kalangan penjawat awam.
"Kalau ini dipersetujui dan kita muafakat dalam Jemaah Menteri, saya fikir wajar untuk kita cari jalan teruskan kerjasama PH dan BN," katanya dalam program Temu Anwar Generasi Ada Idea (Gen-AI) di tapak Parkir Gravitas Jalan Baru Prai, Pulau Pinang, lapor Bernama.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Comments