top of page
nabalunews

Kerjasama swasta mampu pacu pembangunan luar bandar - Ahmad Zahid


10 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan sektor swasta mampu memainkan peranan kritikal untuk memacu pembangunan luar bandar.


Melalui sinergi ini, sektor swasta dapat menyumbang kepakaran teknologi, modal pelaburan, serta membuka akses kepada rangkaian pasaran yang lebih luas, sekali gus meningkatkan daya saing dan produktiviti komuniti luar bandar.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kolaborasi erat antara kedua-dua pihak bukan sahaja berupaya merangsang inovasi, malah mempercepatkan proses pembangunan infrastruktur dan ekonomi luar bandar.


Beliau menambah bahawa kerjasama ini juga mampu memastikan hasil yang lebih mampan dan berkualiti tinggi, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan inklusif yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.


Selain itu, pendekatan ini dapat memperkukuhkan peranan KKDW dalam merealisasikan agenda pembangunan luar bandar yang lebih menyeluruh, termasuklah meningkatkan taraf hidup dan menambah peluang pekerjaan di kawasan-kawasan pedalaman.


“KKDW telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat swasta dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi. Sebagai contoh, kerjasama RISDA dengan Alliance Concord Green Sdn Bhd (ACG) dalam projek biogas mampu menjana tenaga boleh diperbaharui yang memberi manfaat kepada ribuan isi rumah luar bandar, sekali gus membuka peluang ekonomi bagi usahawan tempatan.


“Kolaborasi pintar antara FELCRA Berhad dan Cenergi SEA Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar dalam Tenaga Boleh Diperbaharui, juga menunjukkan kejayaan ini. Oleh itu, saya menyeru semua agensi di bawah KKDW untuk terus proaktif dalam menjalin hubungan dengan sektor swasta,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Oktober kementerian itu, di sini, semalam.


Ahmad Zahid berkata antara bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan dengan sektor swasta termasuklah bootcamp literasi digital intensif melalui KEMAS, serta kerjasama dengan syarikat pelancongan untuk mempromosikan pelancongan desa yang menonjolkan tradisi tempatan, kraf tangan, dan ekopelancongan.


Selain itu, homestay atau rumah-rumah kampung sedia ada juga boleh dipasarkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan perkampungan desa.


Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyarankan agensi di bawah KKDW untuk melaksanakan Rangka Kerja Kolaboratif yang menekankan perkongsian sumber, pengetahuan, dan kepakaran dalam menghadapi cabaran seperti kekangan sumber dan kemajuan teknologi.


Beliau menegaskan setiap agensi KKDW, seperti FELCRA, MARA, KEMAS, JAKOA, dan RISDA, memainkan peranan penting dan saling melengkapi. Untuk mencapai visi KKDW, kerjasama strategik antara kementerian, agensi, dan lembaga kemajuan wilayah amat diperlukan.


“Oleh itu, bagi memastikan kejayaan visi keseluruhan KKDW, kita tidak boleh bergerak secara silo atau terasing. Kerjasama strategik yang lebih erat antara kementerian, agensi dan lembaga kemajuan wilayah amat diperlukan,” katanya.


Beliau turut menyeru agensi di bawah KKDW agar bergerak ke arah kemandirian dan menjana pendapatan sendiri, terutama dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.


Pada perhimpunan itu, 20 pegawai KKDW termasuk Ketua Setiausaha Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar menerima watikah dan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, selain penyampaian Anugerah Pekerja MADANI kepada sembilan kakitangan yang terpilih sebagai penghargaan atas sumbangan dan pencapaian mereka.

Comments


bottom of page