Kerjasama tangani jenayah rentas sempadan antara PDRM dan POLDA Kalimantan Utara
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

28 April 2025
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah dan Kepolisian Daerah Kalimantan Utara (POLDA KALTARA) akan menjalinkan kerjasama dalam dipertingkatkan usaha menangani jenayah rentas sempadan antara Sabah dan Kalimantan, Indonesia.
Kerjasama antara kedua-dua pihak itu termasuk mengadakan perbincangan berhubung aspek yang perlu diketengahkan bagi menangani isu-isu jenayah serta keselamatan sempadan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, antara intipati perbincangan termasuk sebarang bentuk jenayah yang wujud membabitkan dua kawasan agar dapat kita tangani secara maksimum.

“Ia menerusi pertukaran maklumat di antara kedua-dua pihak bagi mempermudahkan usaha menangani jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara.
"Oleh itu, kita mengharapkan dengan kerjasama ini, isu-isu yang timbul selama ini dapat kita tangani secara mutlak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima Kunjungan Hormat Timbal Balas Delegasi Kepala Kepolisian Daerah (KAPOLDA) Kalimantan Utara di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat itu diketuai oleh KAPOLDA Kalimantan Utara, Irjen Pol Hary Sudwijanto bersama rombongan.
Jauteh berkata, mesyuarat khas kedua-dua pihak yang dijangkakan diadakan pada awal Jun depan akan turut membabitkan beberapa pihak bagi memastikan kerjasama erat menangani isu-isu antara kedua-duanya.
"Kita akan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bagaimanapun kerjasama ini menangani isu-isu jenayah rentas sempadan terutama membabitkan aktiviti penyeludupan.
"Penyeludupan merangkupi jenayah narkotik, manusia, barang-barang lain yang terlarang. Ia membabitkan sempadan bermula dari Sebatik sehinggalah ke Long Pasia," katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung kunjungan itu, Jauteh berkata, kunjungan itu adalah timbal balas yang dibuat Polis Sabah ke POLDA KALTARA, pada Februari lalu di Kalimantan.
"Tujuan adalah ingin mengeratkan silaturahim hubungan muhibah antara dua bahagian kepolisian iaitu daripada pihak KAPOLDA KALTARA dan juga Kontinjen Sabah.
"Alhamdulilah, melalui dua kunjungan yang dibuat secara timbal balas ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim bahkan meningkatkan kerjasama dalam menangani beberapa isu membabitkan dua negara terutama berkaitan penyeludupan," katanya.
Sementara itu, Hary Sudwijanto berkata kunjungan balas pada hari ini bukan saja meningkatkan kerjasama tetapi untik memperkuat kordinasi dan membangun komunikasi.
Katanya, ia selaras dengan usaha menangani permasalahan yang mungkin dan sedang terjadi saat ini di wilayah perbatasan baik di Indonesia mahupun di Malaysia.
"Kami percaya bahawa keamanan itu tidak bisa dibangun sendiri, ia perlu sinergi dan saling percaya serta komitmen bersama dalam menangani isu-isu perbatasan.
"Selepas ini, kami akan susun apa yang menjadi kesepakatan itu dan kami daripada kedua kepolisian berkomitmen untuk menyelesaikan semua permasalahan yang bisa kita lakukan bersama dengan tidak ada saling mencurigai atau saling berburuk sangka.
“Tapi kita sama-sama untuk menghadapi permasalahan-permasalahan yang ada di perbatasan," katanya.
Opmerkingen