top of page
Wartawan Nabalu News

Kerosakan tebing sungai dan “low level crossing” Kg. Tambatuon perlu pembaikan segera


Magret menunjukkan jambatan konkrit yang rosak perlu dibaiki segera.

30 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Lebih 1,000 penduduk Kampung Tambatuon, di sini, merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan pembinaan tembok tebing sungai Kadamaian dan ‘Low Level Crossing’ menyeberangi sungai itu.


Seorang penduduk kampung Sanuil Darusin berkata, mereka telah mengemukakan permohonan untuk pembinaan tembok tebing sungai itu bagi mengelak banjir dan hakisan tanah di kawasan perkampungan tetapi sehingga kini belum menerima maklum balas positif.

Pembinaan tembok tebing sungai amat mendesak kerana kebanyakan rumah berhampiran sungai berisiko dilanda banjir atau hakisan tanah.

“Kami berharap kerajaan dapat mempercepatkan kelulusan permohonan ini kerana kebanyakan rumah penduduk kampung dibina berhampiran sungai dan amat berisiko sekiranya berlaku banjir.


“Kampung Tambatuon mempunyai lebih 100 buah rumah yang kebanyakannya dibina berhampiran sungai. Setiap kali hujan lebat dan banjir kawasan kampung kami sering dinaiki air dan keadaan ini amat membimbangkan.

Tembok tebing sungai sepanjang 200 meter yang siap dibina baru-baru ini

“Oleh itu kami memohon supaya kerajaan dapat membina tembok tebing sungai sepanjang 800 meter di kawasan perkampungan,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Sementara itu Sopiah Gunting berkata, penduduk kampung yang mempunyai rumah berhampiran sungai terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membina tembok di kawasan masing-masing.


“Kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membina tembok (gabion) bagi mengelak hakisan dan banjir di kawasan rumah.

“Oleh itu kami amat berharap agar kerajaan dapat membantu kami membina tembok tebing sungai yang lebih kukuh untuk jangka masa yang lama,” katanya.


Rusimah Sominding berkata, kerosakan jambatan konkrit menyeberangi Sungai Kadamaian sejak tahun lalu menyukarkan penduduk kampung mengangkut barang-barang yang berat.


“Misalnya ada penduduk kampung yang membeli perabot rumah, terpaksa mengangkutnya melalui jambatan gantung sebab kereta tidak dapat limpas (lalu).


“Masalah yang sama turut dirasai penduduk kampung yang ingin membina rumah, memasarkan hasil pertanian atau kecemasan. Mereka terpaksa menggunakan jambatan gantung kerana jambatan konkrit rosak … kereta tidak dapat melaluinya,” katanya.

Comentários


bottom of page