Kerugian akibat jenayah komersial meningkat 306 peratus, Polis Sabah komited banteras
16 November 2024
KOTA KINABALU : Polis Kontinjen Sabah komited dalam membanteras jenayah komersial di negeri ini dengan menjalankan kempen kesedaran mengenai kes jenayah komersial secara bersemuka mahupun melalui media sosial secara berterusan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut menasihatkan orang ramai supaya lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Katanya kes jenayah komersial di Sabah merekodkan peningkatan kerugian mangsa sehingga 306 peratus kepada RM256.1 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Jauteh berkata, nilai kerugian itu adalah tertinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Peningkatan itu membabitkan sebanyak 2,260 kes yang direkodkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan hanya 1,962 kes.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.19 peratus kes jenayah komersial bagi tahun ini berbanding 2023,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, baru-baru ini, lapor Info X.
Jauteh berkata, antara kes yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah kes jenayah siber membabitkan penipuan dalam talian.
“Antaranya kategori penipuan itu ialah telekomunikasi (phone scam) iaitu sebanyak 638 kes dan 485 kes membabitkan kes pembelian atas talian,” katanya.
“Justeru, orang ramai dinasihat supaya tidak mudah terpedaya dengan apa-apa tawaran yang tidak pasti dan meragukan,” katanya.
Comments