top of page
nabalunews

Kerugian RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian, Anwar tegaskan tindakan tegas diperlukan




3 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan kebimbangan terhadap kerugian besar sebanyak RM1.224 bilion yang direkodkan akibat jenayah dalam talian dari Januari hingga Oktober lalu.

 

Beliau berkata, jenayah seperti pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud, penipuan e-dagang, dan Love Scam semakin membimbangkan. 

 

"Sebanyak 136 kertas siasatan telah dibuka, dan 25 daripadanya berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan. Penguatkuasaan ini dilakukan secara terselaras oleh PDRM, Kementerian Dalam Negeri, SKMM, Bank Negara Malaysia, NFCC, dan KPKT," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.  

 

Anwar turut memaklumkan langkah pencegahan sedang diperkukuh, termasuk pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA).

 

Portal Semak Mule yang diperkenalkan oleh PDRM, menurutnya, berjaya membantu membanteras sindiket penipuan, dengan 32.66 juta carian awam dan 22.29 juta carian menunjukkan hasil positif. 

 

Berhubung isu tanggungjawab bank terhadap mangsa jenayah dalam talian, Anwar berkata kerajaan sedang mengkaji mekanisme pampasan jika kecuaian pihak bank terbukti.

 

 

Comments


bottom of page