top of page
Wartawan Nabalu News

KES BAHARU COVID DI SABAH KINI MELEBIHI 300 KES



28 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan yang ketara berbanding kelmarin iaitu daripada 217 kes (27 Mei) kepada 308 kes (28 Mei) hari ini dengan peningkatan sebanyak 91 kes dan satu kes kematian dilaporkan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 308 kes jangkitan baharu hari ini, 123 kes hasil saringan kontak rapat, 115 kes saringan kluster, 51 kes saringan bergejala, enam kes saringan bersasar dan 13 kes daripada lain-lain kes.


“Terdapat 13 daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dengan lima daerah menunjukkan peningkatan ketara iaitu pada julat dua angka.


“Daerah-daerah yang mencatatkan peningkatan membimbangkan ialah Kota Kinabalu 43 (meningkat 21 kes), Kunak 36 (+16), Kalabakan 25 (+24), Papar 26 (+22) dan Keningau 27 (+15).


“Tujuh daerah pula mencatatkan penurunan kes dalam julat satu angka, kecuali daerah Tawau yang mencatatkan penurunan dalam julat dua angka,” katanya dalam k enyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, lapan daerah lain iaitu Ranau, Beluran, Telupid, Pitas, Kota Marudu, Tenom, Nabawan dan Tambunan mencatatkan sifar kes hari ini.


Katanya lagi, peningkatan kes yang berlaku dipengaruhi oleh sikap komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 136 menjadikan jumlah kumulatif 59,238 orang.


“Seramai 1,341 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 419 orang di hospital, 917 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara lima orang.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 71 orang dan 26 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Comments


bottom of page