Kes Denggi menurun, rakyat diingatkan kekal berwaspada
8 November 2024
PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi di seluruh negara menunjukkan penurunan pada Minggu Epidemiologi (ME) 44, dengan 1,346 kes dilaporkan dari 27 Oktober hingga 2 November, berbanding 1,521 kes pada minggu sebelumnya.
Kematian akibat komplikasi denggi turut menurun, mencatatkan satu kes sahaja minggu ini berbanding dua pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kes denggi setakat ini adalah 111,250 kes dengan 102 kematian, berbanding 100,936 kes dan 78 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
“Secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga ini sebanyak 111,250 kes dengan 102 kematian, berbanding 100,936 kes dan 78 kematian untuk tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dr Muhammad Radzi juga melaporkan terdapat 27 lokaliti aktif hotspot pada ME 44, dengan 14 daripadanya di Selangor, empat di Negeri Sembilan, empat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, dua di Perak, dan satu masing-masing di Sabah, Pulau Pinang, dan Kelantan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak leka walaupun kes menunjukkan penurunan, memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan peningkatan hujan semasa Monsun Timur Laut (MTL) dari awal November 2024 hingga Mac 2025.
“Semasa MTL, negara dijangka mengalami peningkatan hujan yang berpotensi meningkatkan banyak kawasan air bertakung yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes,” jelasnya.
Orang ramai digesa untuk terus melakukan langkah pencegahan, termasuk membersihkan kawasan sekitar dan memastikan tiada bekas atau kawasan air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Comments