Wartawan Nabalu News
Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia
3 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kes pertama positif varian dimbangi (VOC) Omicron kini telah dikesan di Malaysia, membabitkan individu bukan warganegara yang memiliki rekod perjalanan dari Afrika Selatan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau berdasarkan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 74 sampel positif Covid-19 yang dikesan di KLIA dari 11 November hingga 28 November, IMR mendapati salah satu dari sampel yang diuji adalah positif VOC Omicron.
“Jujukan genom yang dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember.
‘Kes tersebut merupakan seorang pelajar berusia 19 tahun, di sebuah universiti swasta di Ipoh Perak, dan telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa (PMA) KLIA.
“Berdasarkan ujian saringan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan berkenaan positif Covid-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November lalu dan telah menjalankan kurantin selama 10 hari sebelum diberi pelepasan pada 29 November,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Khairy, perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti dan pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu yang berada dalam bas yang sama iaitu seramai lima orang.
Beliau berkata, kelima-lima individu itu telah menjalankan saringan ujian Covid-19 dan telah diarahkan menjalankan kurantin wajib.
Keputusan sampel mendapati bahawa ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat adalah disahkan negatif.
Sehubungan itu, Khariy berkata pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi di PMA KLIA akan dipakaikan peranti pengensan digital sepanjang tempoh kurantin.
Manakala pengembara dari negara berisiko tinggi yang ke Langkawai menerusi gelembung pelancongan Langkawi juga akan diarahkan untuk menjalani ujian pengesanaRTK-Ag Covid-19 tambahan pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan.
Tambahnya lagi, Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Singapura dan Malaysia akan diteruskan meskipun negara sudah merekodkan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron.
"Kami mengesahkan bahawa VTL akan diteruskan dan kami akan terus mengemas kini antara satu sama lain setiap hari dan menyelaraskan respons kami dengan sewajarnya,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19, di Putrajaya hari ini.
Comments