Kes Positif PSP dikesan di perairan Teluk Likas
- Wartawan Nabalu News
- Dec 14, 2023
- 1 min read

14 Disember 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu notis amaran telah dikeluarkan berkenaan kes positif racun Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) telah dikesan di perairan Teluk Likas.
Notis tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim dimana tahap racun PSP di perairan berkenaan melebihi paras bahaya dan menyebabkan kerang-kerangan menjadi beracun.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dinasihatkan agar orang awam tidak mengutip dan memakan kerang-kerangan dari kawasan terbabit,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Tambah beliau, Jabatan Perikanan Sabah akan terus memantau perkembangan pencemaran PSP sebagai langkah berjaga-jaga.
PSP adalah sejenis racun yang dihasilkan oleh alga atau plankton yang membiak di perairan pantai barat Sabah termasuk di Teluk Likas, biasanya ketika musim panas pada akhir dan awal tahun.
Alga ini membiak dalam kadar yang banyak dan menyebabkan air laut berwarna merah, yang dikenali sebagai fenomena air pasang merah. Racun ini boleh menjejaskan kerang-kerangan tetapi ikan masih boleh dimakan dengan syarat membuang insangnya.
Selain Teluk Likas, kawasan lain yang kerap mengalami pencemaran PSP di Sabah adalah perairan Tuaran dan Tasik Sitompok, Kuala Penyu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ‘kerang beracun Teluk Likas’ boleh menghubungi pegawai bertugas di Kompleks Perikanan Likas melalui talian 088-425890 dan 013-8668440 atau Penguasa Perikanan Daerah Kinabalu di talian 019-8620401.
Comentarios