top of page

KESEDARAN MASYARAKAT DAFTAR PRODUK DENGAN MYIPO MENINGKAT - PENGERUSI

nabalunews

16 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Peningkatan permohonan bagi mendaftarkan sesuatu produk di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada setiap tahun menunjukkan masyarakat semakin sedar akan kepentingan untuk mendapatkan hak eksklusif terhadap reka cipta masing-masing.

Pengerusi MyIPO Datuk Mohamad Alamin berkata perbadanan itu menerima lebih daripada 56,000 permohonan bagi mendaftar sesuatu produk pada 2019 berbanding lebih 52,000 bagi tahun sebelumnya (2018).

"Ini satu perkembangan yang sangat positif kepada harta intelek negara kita bahawa masyarakat sudah mulai sedar betapa pentingnya mereka mendaftarkan reka cipta mereka," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Harta Intelek Tempatan Ke Persada Dunia’, terbitan Bernama TV malam ini.

Pada masa sama, beliau berkata usaha mendaftarkan sesuatu produk dengan MyIPO turut memberi isyarat bahawa pendaftar ingin memastikan kualiti harta intelek negara terus terpelihara dan ciptaan mereka itu dipercayai orang ramai.

"Kita mempunyai hak eksklusif sesuatu produk itu, suatu reka cipta itu, maknanya kita boleh mengembangkan inovasi kita, mengkomersialkan produk kita itu ke mana sahaja, bukan sahaja peringkat domestik tetapi juga peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, terutama usahawan supaya mendaftarkan produk atau reka cipta masing-masing di MyIPO supaya ciptaan mereka itu tidak diguna pakai oleh orang lain untuk meraih keuntungan. - Bernama

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page