Kesedaran orang ramai penting elak jangkitan penyakit Tibi
17 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Kesedaran awal mengenai tanda-tanda penyakiti Tibi atau tuberculosis di kalangan masyarakat amat penting bagi membantu mencegah penularan penyakit ini.
Ketua Perhubungan Pusat Khidmat Adun Kadamaian Carlye Lajimin berkata, ini kerana penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang berpotensi memberi kesan serius terhadap kesihatan paru-paru seseorang.
Oleh itu katanya, setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran bagi mengelak penularan penyakit ini secara berleluasa.
“Di kawasan Kadamaian sahaja, dilaporkan seramai 63 pesakit tibi sejak 2019 sehingga 2023, dan tiga kematian direkodkan. Ini amat membimbangkan jika tiada kesedaran masyarakat untuk mencegah penyakit ini daripada berjangkit.
“Perlu diketahui bahawa proses jangkitan tibi mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadi aktif tibi, dan seorang pesakit itu boleh menjangkiti sekurang-kurangnya 15 individu yang lain pada satu masa.
“Saya berharap melalui program ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak memandang ringan jangkitan penyakit tibi,” katanya pada Program Sambutan Hari Tibi Sedunia 2023, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Carlye mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud Bakri Nanun, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N11 Kadamaian Demis Rumanti, Pengerusi Panel Penasihat KK Taginambur Johnny Gilong dan Pengerusi SABATA Cawangan Kota Belud Anichlose Kesimin.
Carlye berkata, tema Hari Tibi Sedunia 2023 “Yakin, Kita Dapat Menamatkan TB” memberi tekad dan iltizam untuk memutuskan jangkitan penyakit itu.
Katanya lagi, SABATA Kota Belud turut mengalu-alukan orang ramai mengambil bahagian dalam membenteras penularan penyakit Tibi dengan mendaftarkan diri sebagai ahli SABATA.
“Cabaran utama Unit Tibi Daerah Kota Belud dalam menangani kes tibi ialah komitmen pesakit itu sendiri, dimana ramai pesakit tidak mampu meneruskan rawatan kerana faktor kewangan.
“Saya berharap melalui penyertaan masyarakat sebagai ahli SABATA, dapat membantu meringankan bebanan pesakit Tibi yang memerlukan bantuan kewangan,” katanya.
Hari Tibi Sedunia disambut setiap 24 Mac, namun sambutan peringkat daerah Kota Belud diawalkan bagi memberi laluan kepada bulan Ramadan bermula 23 Mac ini.
Comments