top of page
nabalunews

Kesedaran rendah imbasan awal kehamilan kembar siam di Malaysia – Pakar


 



25 November 2024

 

RIYADH: Tahap kesedaran wanita di Malaysia untuk menjalani proses imbasan awal bagi mengesan kehamilan kembar Siam masih rendah, menurut Pakar Perubatan Janin Ibu Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Dr. Roziah Husin. 

 

Beliau menekankan bahawa pengesanan awal kehamilan kembar Siam penting untuk membolehkan pemantauan rapi serta bimbingan terbaik terhadap kandungan. 

 

"Kandungan kembar Siam ini boleh dikesan seawal minggu ke-10 hingga ke-12 kehamilan, namun majoriti kes di Malaysia hanya dikesan ketika usia kandungan mencecah 20 minggu. 

 

"Kadar kelangsungan hidup bagi kandungan kembar Siam berada antara lima hingga 25 peratus sahaja, dan pengesanan awal boleh membantu menentukan keputusan sama ada meneruskan atau menamatkan kehamilan," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Mengenai Kembar Siam 2024, lapor Bernama.

 

Jelas beliau, pengesanan awal memungkinkan pasukan perubatan untuk merancang kelahiran dan pembedahan dengan lebih baik berdasarkan keadaan janin kembar Siam. 

 

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Kanak-Kanak Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, Dr. Mohd Yusof Abdullah, memaklumkan bahawa Malaysia memiliki kepakaran dan teknologi setanding negara luar dalam menjalankan pembedahan pemisahan kembar Siam. 

 

"Persidangan ini penting, khususnya untuk membangunkan latihan dan kaedah pembedahan kerana kes kelahiran kembar Siam jarang berlaku," katanya. 

 

Persidangan selama dua hari itu, yang dianjurkan oleh Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), turut membincangkan pelbagai aspek seperti intervensi pembedahan, penjagaan ibu, pertimbangan etika, dan kemasukan sosial bagi penjagaan kembar Siam. Penyertaan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga membuka ruang untuk perkongsian teknologi terkini serta amalan terbaik dalam rawatan dan pembedahan.

Comentários


bottom of page