top of page
nabalunews

KESELAMATAN MAKAN, AMALAN KEBERSIHAN DIRI PERLU SEIRING SEWAKTU PKPB



20 DIS 2020


SANDAKAN: Keselamatan makanan dan amalan kebersihan yang baik perlu bergerak seiring, dalam usaha membantu mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan pandemik COVID-19, kata seorang penyelaras program bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai Asean Cares.


Teo Chee Kim yang juga bendahari kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar Future Alam Borneo (FAB) itu berkata, program Asean Cares bukan sekadar mengedarkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga memberi pendidikan mengenai amalan kebersihan, termasuk penggunaan yang betul peralatan bagi mengelakkan penyebaran virus.


“Program Asean Cares bertujuan membantu masyarakat yang berhadapan risiko keselamatan makanan dan masalah kebersihan.


“Sudah hampir setahun sejak bermulanya penularan wabak COVID-19 dan kami bukan sekadar mengedarkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik itu, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat tentang apa yang perlu mereka lakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya ketika ditemui semasa pengagihan bantuan di Kampung Mangkalinau di sini.


Teo berkata FAB berharap jumlah kes aktif COVID-19 akan berkurangan dengan banyak apabila lebih ramai orang menyedari kepentingan menerapkan amalan kebersihan yang baik dalam kehidupan seharian mereka.


“Pandemik ini belum pernah berlaku sebelum ini. Tumpuan perlu diberikan kepada golongan yang mudah terkena jangkitan,” katanya.


Mengenai Asean Cares, Teo berkata FAB dipilih untuk melaksanakan program di Sandakan dengan mengedarkan 300 bungkusan makanan dan kit kebersihan kepada keluarga paling terkesan semasa PKPB di empat buah kampung - Kampung Forest, Kampung Mangkalinau, Kampung Sundang dan Kampung Bonggaya Baru.


Menurut beliau, Asean Cares adalah program yang dilaksanakan oleh Asean Foundation and United Way Worldwide, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dibiayai secara persendirian bagi memperjuangkan kesihatan, pendidikan dan kestabilan kewangan dalam kalangan masyarakat, disokong syarikat konglomerat multinasional, 3M.


“Program Asean Cares melantik sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar, EcoKnights di Semenanjung untuk melaksanakan program di Malaysia yang melibatkan empat negeri - Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah, di mana mereka (EcoKnights) bekerjasama dengan FAB di Sabah,” katanya.


PKPB dilaksanakan di seluruh Sabah dari 13 Okt sehingga 31 Dis, berikutan peningkatan baharu kes postitif COVID-19.


Semalam, Sabah mencatatkan 199 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 34,282 kes dengan 12 daripada 27 daerah dikategorikan sebagai zon merah, manakala daerah Nabawan adalah satu-satunya zon hijau tanpa kes aktif. – Bernama


Comments


bottom of page