Keselamatan penduduk yang terlibat dengan bencana alam terus diutamakan - ADUN Karamunting
1 Januari 2025
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin melawat mangsa bagi dua kejadian bencana alam dalam kawasan beliau pada Selasa.
Beliau bergegas pulang ke Sandakan dari urusan rasmi di Kota Kinabalu selepas menerima laporan berkenaan yang juga mencetuskan kebimbangan penduduk di Jalan Lee Tung Sang dan Jalan Estate Connector, Sandakan.
Jelasnya, apa yang penting keselamatan penduduk terlibat dan pihaknya sentiasa berusaha memantau keadaan semasa.
Dalam kejadian pertama, sebuah rumah kayu hampir musnah selepas bahagian dapur dihempap pokok tumbang di Jalan Lee Tung Sang.
Namun, dua warga emas yang berada di dalam rumah itu terselamat tanpa sebarang kecederaan tetapi mengalami kejutan.
Manakala dalam kejadian kedua, tanah runtuh dilapor berlaku di Jalan Estate Connector dan telah menutup laluan jalan raya.
"Syukur penduduk segera menghubungi Pasukan Task Force ADUN Karamunting, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang pantas membantu selain memastikan tiada kejadian lebih teruk berlaku," katanya dalam satu kenyataan di Sandakan pada Selasa.
Manakala kontraktor Jabatan Kerja Raya juga pantas membantu bersama agensi terlibat yang lain serta membersihkan lumpur dan runtuhan untuk keselamatan penduduk.
Dalam pada itu, George memberitahu, Pasukan Tugas Karamunting juga dalam keadaan berjaga-jaga 24 jam bagi memastikan keselamatan dan mengurangkan risiko kepada penduduk terjejas.
תגובות