top of page

KESTABILAN PENDAPATAN, KEBAJIKAN PEKEBUN KECIL GETAH TETAP DIAMBIL BERAT—WEE

nabalunews


17 Nov 2020


KUALA LUMPUR: Kestabilan pendapatan dan kebajikan pekebun kecil getah sentiasa menjadi antara keutamaan, justeru kerajaan meningkatkan lagi peruntukan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM300 juta bagi 2021.


Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata bagi tempoh Januari 2020 sehingga kini sebanyak RM157.3 juta dana IPG telah dibayar kepada 127,420 pekebun kecil bagi 163.4 juta kilogram getah.


“IPG merupakan satu insentif yang disediakan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban ekonomi pekebun kecil getah kesan daripada kejatuhan harga getah.


“Di samping itu, pelaksanaan IPG juga dijangka dapat memberi galakan kepada pekebun kecil untuk terus menoreh bagi menjamin bekalan getah domestik untuk keperluan sektor pemprosesan dan hiliran getah negara,” katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung baki semasa peruntukan IPG bagi 2020 selain kelewatan pembayaran IPG kepada pekebun getah.


Wee berkata sejak IPG diperkenalkan, pekebun kecil perlu memohon secara manual.


Beliau berkata proses permohonan secara manual ini menyebabkan ramai pekebun kecil tidak menuntut IPG dan dianggarkan tidak sampai 12 peratus daripada pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang menuntut IPG.


“Oleh yang demikian, bermula awal tahun ini, kerajaan berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan tuntutan IPG daripada pekebun-pekebun kecil dengan lebih berkesan,” katanya.


Beliau berkata semasa pengumuman Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan RM100 juta sahaja bagi pelaksanaan IPG.


“Namun, pada pertengahan tahun ini, tuntutan IPG daripada kalangan pekebun kecil getah telah meningkat dengan mendadak. Ini disebabkan kemelesetan harga getah di pasaran dunia akibat penularan pandemik COVID-19 dan kerajaan berusaha agar lebih ramai pekebun kecil menuntut IPG.


“Tuntutan IPG yang mendadak ini telah menyebabkan peruntukan IPG sebanyak RM100 juta tidak mencukupi. Atas keprihatinan kerajaan untuk membantu pekebun kecil getah, yang majoritinya terdiri daripada B40, kerajaan telah menambah RM50 juta lagi peruntukan dana IPG dan menjadikan jumlah peruntukan IPG pada tahun ini kepada RM150 juta,” katanya.


Wee berkata melalui pelaksanaan IPG, harga getah sekerap di peringkat ladang disokong pada paras harga pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram.


Ini bermakna, IPG akan teraktif apabila harga di ladang untuk getah sekerap berada di bawah RM2.50 sekilogram, katanya.


Beliau berkata perbezaan harga akan ditampung oleh kerajaan berdasarkan pengeluaran yang dihasilkan oleh pekebun kecil. – Bernama


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page