Kestabilan politik, bersatu hati kunci pembangunan negeri : Ketua Menteri
29 Januari 2025
SANDAKAN: Hanya kestabilan politik, bersatu hati dan perpaduan yang utuh mampu membawa kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Demikian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan ia mampu membawa lebih banyak pembangunan termasuk meningkatkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri hari ini mempunyai banyak perancangan untuk meningkatkan ekonomi khususnya menerusi tiga teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Malah, lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan kerajaan pada tahun ini demi
pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat kerana perjuangan membantu rakyat belum selesai.
“Saya mahu rakyat di negeri ini termasuk di Sandakan akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus dalam pilihan raya akan datang agar perjuangan membangunkan negeri dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Yu Yuan, Sandakan pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey dan Datuk Seri Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.
Hajiji berkata, pencapaian dalam ekonomi khususnya kutipan hasil terus meningkat setiap tahun daripada RM4 bilion kepada hampir RM7 bilion pada tahun lalu.
“Saya percaya dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, jika GRS-PH Plus diberi mandat, kutipan hasil akan mencapai hingga lebih RM8 bilion.
“Oleh itu, saya berharap rakyat agar tidak mendengar atau mudah terpengaruh dengan cerita-cerita fitnah serta bohong pembangkang melalui media sosial kepada kerajaan.
“Kita akan teruskan pencapaian baik ini khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat." Ujarnya.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan bagi memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke negeri ini.
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri sangat menghargai peranan besar masyarakat Tionghua dalam pembangunan ekonomi negeri ini.
Katanya, beliau berharap masyarakat Tionghua akan dapat terus bersama-sama membantu kerajaan membangunkan ekonomi negeri.
“Saya memberi jaminan kerajaan negeri hari ini sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan mereka.
“Ini yang kita terus lakukan dan saya berharap rakyat di Sandakan akan terus memberi sokongan kepada wakil-wakil rakyat di daerah ini.” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengenai masalah air di Sandakan, Hajiji menegaskan beliau akan memanggil pengarah jabatan air untuk menyelesaikan masalah bekalan air di daerah Sandakan.
Katanya, beliau sendiri mahu mengetahui lebih lanjut mengenai apa masalah sebenarnya yang terjadi.
“Saya tidak mahu ada unsur-unsur sabotaj dalam pengurusan air di negeri ini termasuk di Sandakan,” katanya.
Comments