top of page
nabalunews

Kestabilan politik bolehkan kerajaan laksanakan anjakan, pulih ekonomi - PM

10 Oktober 2024


VIENTIANE: Malaysia kini berada dalam fasa kestabilan politik yang membolehkan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat di antara pemimpin politik, penjawat awam, dan sektor swasta sangat penting dalam usaha ini. Kesediaan semua pihak untuk menerima kenyataan bahawa Malaysia tidak lagi boleh beroperasi pada tahap lama adalah kunci untuk mencipta perubahan positif.


"Orang bicara tentang anjakan tapi tak ramai yang faham dan cuba melaksanakan anjakan itu kerana jika tidak dilakukan perubahan yang lebih bermakna serta lebih lancar, kita akan kembali kepada keadaan yang muram dan lembab," katanya dalam ucapan ringkas ketika majlis ramah mesra bersama delegasi Malaysia di Laos malam ini.


Majlis makan malam itu dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud dan isterinya, Rashidah Mohd Rashid.


Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Anwar berkata kestabilan politik itu juga memberi ruang kepada kerajaan untuk memperbaiki tatakelola dalam memastikan pengurusan negara dapat dilakukan dengan sebaiknya.


"Kalau tanya saya, kita sudah ada kestabilan politik, kita gunakan itu untuk perbaiki tatakelola kerana tidak ada negara dengan kekayaan sebesar manapun yang mampu mengangkat martabat masyarakat, bangsa dan negara tanpa satu pengurusan yang amanah dan bertanggungjawab.


"Sehubungan itu, kerajaan dapat memperkenal dasar-dasar yang jelas dalam perindustrian, digital, tenaga serta semikonduktor yang membolehkan orang-orang (pelabur) tahu dan ini meyakinkan mereka untuk datang (melabur) dan melihat sendiri adakah kita telah mencapai tahap kecekapan yang diharapkan.


"Setakat ini, ada perubahan ke arah itu... bagaimanapun, saya selalu sebut ada ruang untuk memperbaiki," katanya.


Beliau turut menyeru semua pihak untuk sentiasa bersemangat membawa perubahan bagi memperbaiki kekurangan yang ada.


Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan telah bermula secara rasmi di ibu negara Laos pada Rabu dan berlangsung hingga Jumaat.


Anwar, yang tiba di sini pada Selasa malam, juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialognya iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Pemimpin ASEAN dan rakan dialog lain termasuk Perdana Menteri China Li Qiang serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken turut menghadiri sidang-sidang berkenaan.


Sidang kemuncak itu akan berakhir 11 Oktober ini dengan Laos menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada majlis penutup.


Menurut Wisma Putra, Anwar Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan yang menggariskan visi negara sebagai Pengerusi ASEAN pada majlis itu dan Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan berkenaan pada 1 Januari 2025.

Comments


bottom of page