top of page
nabalunews

Ketiadaan Undi Tidak Hadir untuk Pengundi Perantau Sarawak tanda Keangkuhan Malaya


7 December 2021


Berdasarkan satu anggaran, mungkin seramai 250,000 daripada 1,252,014 pengundi Sarawak yang menetap di Semenanjung, Sabah dan Labuan. Ini bermakna satu daripada lima pengundi Sarawak dikehendaki untuk terbang pulang sebelum 18 Disember untuk mengundi, iaitu seminggu sebelum Krismas, atau akan melepaskan hak mereka untuk menentukan masa depan wilayah asal mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.


Bolehkah anda bayangkan saiz 250,000 pengundi? Jika mereka dihantar oleh Airbus A320 dengan kapasiti 160 penumpang, sebanyak 1,560 penerbangan sehala akan diperlukan.


Sekiranya semua syarikat penerbangan beroperasi pada kapasiti penuh, dan katakan terdapat sebanyak 30 penerbangan sehari dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri, kesemua penghantaran tersebut akan mengambil masa 52 hari, atau 7.5 minggu, satu hala.


Mengapa keadaan ini tidak diberi perhatian oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kerajaan Negeri Sarawak? Kerana mereka tahu kebanyakan rakyat Sarawak tidak mampu untuk pulang ke rumah.


Pada hari Ahad , dengan pilihan raya berbaki dua minggu lagi, penerbangan keluar dari Kuala Lumpur pada 17 Disember dan penerbangan pulang pada 19 Disember akan menelan kos sekitar RM 1,200, bersamaan dengan gaji minimum bulanan di Malaysia. Dan jika RM 1,200 didarabkan dengan 250,000 pengundi, jumlah keseluruhan adalah RM 300,000,000.


Jika anda berasal dari Kabong, Kerian, Pelagus, Telang Usan atau Bakelalan tetapi sedang bekerja atau belajar di Kuala Lumpur, adakah anda akan pulang mengundi? Jika anda telah merancang perjalanan pulang untuk Krismas atau Tahun Baru, adakah anda mempunyai wang yang cukup untuk membeli tiket lain? Sebagai alternatif, adakah majikan atau universiti anda akan membenarkan anda bercuti selama dua minggu?


Adakah anda perlu dinafikan hak mengundi, menentukan nasib kampung dan wilayah asal, hanya kerana anda tidak mampu?


Anak-anak Sarawak, adakah pilihan anda untuk meninggalkan kampung halaman atau Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri sekiranya bumi Sarawak mempunyai peluang pekerjaan atau pendidikan yang luas? Dan adakah salah Sarawak apabila ia masih ketinggalan dalam pembangunan sosio-ekonomi, dan masih banyak kampung pedalaman yang tidak dilengkapi jalan tar, elektrik dan juga air paip sedangkan ia diberkati dengan kekayaan sumber asli daripada minyak dan gas sehinggalah sumber kayu?


Oleh itu, jika anda terpaksa mencari pendidikan atau pekerjaan di luar wilayah sendiri akibat pemusatan kuasa yang tidak adil selepas 58 tahun di Malaysia, mengapa anda perlu turut dihukum lagi dalam pilihan raya? Mengapa anda mesti dipaksa untuk memilih di antara membuang undi anda atau menjimat wang anda?


Apabila sepupu Kalimantan kita yang bekerja di Malaysia boleh beratur dan mengundi di Kedutaan Indonesia, mengapa kita tidak mempunyai pusat pengundian awal di Kuala Lumpur, Johor Baru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu di mana diaspora Sarawak kebanyakannya menetap, untuk mereka beratur dan mengundi beberapa hari lebih awal sebelum 18 Disember? Malah, apa susahnya untuk mengadakan pusat pengundian di bandar-bandar utama di Sarawak untuk mengurangkan keperluan pengundi pedalaman untuk pulang ke kampung untuk mengundi?


Jika Kementerian Kesihatan kita boleh menubuhkan pusat vaksinasi (PPV) untuk memberi perlindungan kepada setiap warganegara yang layak, mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh membawa hak mengundi kepada setiap rakyat diaspora Sarawak di Tanah Melayu dan Sabah? Mengapa susah sangat untuk dilakukan?


Izinkan saya untuk menyangkal jalan cerita SPR - "daftar di mana anda berada, supaya anda tidak perlu pulang kampung untuk mengundi". Cadangan ini adalah legalistik tetapi ketinggalan zaman dan tidak menghirau konteks, dan mesti ditolak oleh rakyat Sarawak dan Sabah, malah oleh semua rakyat Malaysia.


Idea bahawa kepentingan pengundi harus terikat dengan tempat tinggal adalah lapuk kerana sekarang ramai orang sentiasa bergerak dan tidak berada pada tempat yang sama dari siang sampai ke malam. Mereka mungkin bekerja di satu tempat, tinggal di tempat lain dan memiliki harta di tempat yang lain – mengapa mereka mesti dihadkan untuk mengundi di tempat tinggal yang didiami untuk bermalam selepas bekerja?


Lebih penting lagi, ramai yang berpindah antara pekerjaan jangka pendek dan menukar bilik sewa mereka apabila perlu. Bagi rakyat Sabah dan Sarawak yang merantau, ada yang bersedia untuk berpindah ke negeri asal sekiranya mereka tidak dapat mencari pekerjaan yang sesuai.


Tuntutan bahawa pengundi yang merantau untuk mencari rezeki atau ilmu perlu menukar daftar pemilih adalah secara tidak langsung paksaan dikenakan atas mereka untuk melepaskan daerah asal dengan kepentingan tetap di sana dan mengundi di tempat baru yang mungkin tidak akan diberi perhatian kerana terlalu sibuk mencari rezeki. Sekiranya SPR memang mengambil berat tentang perwakilan tempatan, berilah nasihat kepada Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan semula pilihan raya tempatan.


Paksaan terhadap rakyat diaspora Sarawak dan Sabah untuk menukar kawasan mereka atau terbang pulang untuk mengundi sebenarnya adalah “penindasan undi” (vote suppression) yang disengajakan agar pengundi tertentu tidak dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka dalam pilihanraya.


Apabila rakyat Sabah dan Sarawak terpaksa mencari pendidikan atau pekerjaan jauh dari bumi asal mereka yang selama ini dipinggirkan, mengapa mereka mesti cukup kaya baru boleh mengundi untuk menentukan masa depan tanah air mereka? Kalau ini bukan penindasan, apa namanya?


Memandangkan kesemua 250,000 pengundi sebenarnya boleh mengisi hampir 40 kawasan terkecil daripada 82 kawasan DUN Sarawak, adakah penindasan undi ini didorong oleh perhitungan kepartian menjijik kerana pengundi perantau lebih terdedah dan peka, justeru lebih sukar untuk dibeli dengan wang tunai atau janji-janji pembangunan bila mengundi?


Dalam keadaan pandemik, perjalanan pulang menggunakan pengangkutan awam akan meningkatkan risiko jangkitan. Mereka yang merentas negeri berkemungkinan perlu menjalani kuarantin sekiranya berlaku lonjakan mendadak, menjadikan keadaan lebih sukar untuk pengundi pulang ke rumah walaupun mampu membayar tambang penerbangan.


Oleh itu, kenapa SPR tidur sejak 21 bulan lalu tidak membuat apa-apa untuk memperluaskan kemudahan undi tidak hadir untuk rakyat biasa? Bilakah mereka akan bangkit daripada tidur?


Apabila kita menuntut undi tidak hadir untuk Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lalu, SPR memberi alasan belum bersedia. Adakah mereka sudah bersedia untuk PRU15? Atau, perlukah rakyat perantau Sarawak dan Sabah bersedia untuk undi mereka terus ditindas selama-lamanya dan menyesal kerana nenek moyang mereka tidak memaklumkan secara terang-terangan kepada Suruhanjaya Cobbold pada 1962 bahawa mereka menolak cadangan Malaysia?


Jika Kerajaan Persekutuan dan SPR tidak dapat memahami betapa salahnya hal ini untuk Sarawak, ingin saya jelaskan mengapa anda gagal memahami: keangkuhan Malaya yang telah berterusan 58 tahun lamanya!


Sebagai rakyat Sabah, saya faham perkara ini kerana kita mempunyai hampir 300,000 pengundi diaspora, atau satu daripada empat keseluruhan 1.2 juta pengundi Sabah. Sebaliknya, kurang 1 juta daripada 13 juta pengundi Malaya (8%) berada di Sabah atau Sarawak, kerana kebanyakan negeri Malaya tidak diabaikan sampai perlu mencari hidup di seberang Laut China Selatan.


Golongan elit politik Malaya mesti memahami perkara ini, Malaysia seperti yang kita ketahui sekarang mungkin tidak wujud dalam masa dua generasi lagi sekiranya rakyat Sarawak dan Sabah terus diperlakukan dengan remeh berbanding dengan saudara Kalimantan mereka, yang akan melihat lebih banyak pembangunan dan kemajuan dengan tertubuhnya ibu negara baru Indonesia di Kalimantan Timur menjelang 2024.


Perluaskan hak mengundi tidak hadir kepada pengundi luar wilayah sebelum PRU15 supaya rakyat Sarawak, Sabah dan Malaya yang berada di luar wilayah mereka tidak perlu membuat pilihan antara undi atau wang. Jika tidak, perkenalkan kerusi Senarai Parti (Party-list) di Parlimen supaya rakyat Sarawak dan Sabah diaspora masih boleh mengundi parti yang memperjuangkan aspirasi mereka.


Keperluan untuk menegakkan kedaulatan pengundi bukanlah perkara rumit. Dua daripada tujuh Pesuruhjaya Pilihan Raya adalah wakil Sarawak dan Sabah, sudah pastinya boleh memahami nasib saudara perantau mereka. Persoalannya, adakah kita perlu mempunyai Pengerusi SPR dari Sabah atau Sarawak sebelum kita boleh melihat perubahan?


Saya berharap semua parit-parti di Sarawak akan memperjuangkan kemudahan undi tidak hadir untuk semua 250,000 pengundi perantau Sarawak. Kita mesti lantang bersuara supaya Kerajaan Persekutuan dan SPR dapat bangun daripada tidur mereka.


Ahli Parlimen Tuaran

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Comentarios


bottom of page