Ketibaan TYT Sabah ke-11 Tun Musa Aman disambut ribuan orang ramai
18 Disember 2024
KOTA KINABALU: Ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman di pekarangan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini disambut ribuan orang ramai.
Tun Musa yang menaiki pesawat khas Jet Gulfstream G5000 dari Kuala Lumpur, selamat tiba di KKIA pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi dengan diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Ketibaan beliau disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Ariffin Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib serta beberapa pembantu menteri.
Turut hadir mengalu-alukan ketibaan Musa ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan bekas Ketua Menteri yang juga Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Semalam, Tun Musa menerima Surat Cara Pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Orang ramai dikatakan mula berkumpul di Terminal 2 KKIA seawal jam 8 pagi.
Sebahagiannya membawa kain rentang dan peralatan muzik tradisional bagi menunjukkan sokongan kepada TYT baharu dilantik itu.
Kira-kira 150 anggota polis mengawal keadaan di KKIA yang penuh sesak dengan orang ramai.
Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga 2018 itu dijadual mengangkat sumpah sebagai TYT Sabah Ke-11 di Istana Seri Kinabalu pada 1 Januari ini.
Comments