top of page
nabalunews

Ketua-ketua adat diminta terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi


14 Disember 2024


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN : Ketua-ketua adat diingatkan terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata, ini penting kerana ketua adat memikul tanggungjawab besar dalam memimpin komuniti masing-masing. 


"Bagi ketua adat yang baru dilantik, kita berharap mereka juga bersedia memikul tanggungjawab dan amanah diberikan dengan sebaiknya," jelasnya.


Frankie menyatakan perkara itu ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ketua-Ketua Adat di Mahkamah Anak Negeri Sandakan pada Jumaat.


Turut hadir, Ketua Daerah Sandakan, OKK Awang Zakaria Maria, Setiausaha ADUN Tanjong Papat, Liau Fui Fui dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Mohd Faried Ismail.


Pada majlis itu, surat lantikan berkenaan diserahkan Frankie kepada Kapitan Lee Poh Leong sebagai Ketua Masyarakat Cina Rancangan Rumah Murah Sim-Sim, Kapitan Lam Ah Foo sebagai Ketua Masyarakat Cina Jalan Singapura, Junior Jikirin sebagai Ketua Kampung Pulau Berhala dan Hadanan @ Adanan Hassan sebagai Ketua Anak Negeri.


Frankie mengucapkan penghargaan kepada semua ketua adat yang telah dilantik ataa kesediaan mereka memikul tanggungjawab besar dalam memimpin komuniti masing-masing. 


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Mahkamah Anak Negeri Sandakan yang diketuai oleh OKK Zantapha Zainal Abidin atas kejayaan menyempurnakan majlis ini dengan penuh tertib dan berprestij. 


Beliau menekankan pentingnya kerjasama erat antara institusi adat dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan tradisi dan nilai-nilai komuniti terus dihormati dan diperkukuhkan.

Comments


bottom of page