Ketua Wanita Gagasan Rakyat sedia bertanding jika diberi peluang
nabalunews
![Redonah Bahanda](https://static.wixstatic.com/media/d65831_90c73a5a46fb43c3a055467c8b454756~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_90c73a5a46fb43c3a055467c8b454756~mv2.jpg)
12 Februari 2025
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda menyatakan kesediaannya menerima pencalonan bagi pilihan raya negeri akan datang.
Menurut Redonah, sekiranya diberi peluang, beliau memilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, memandangkan Matunggong sudah diwakili Datuk Julita Mojungki.
“Sekiranya saya diberi peluang untuk bertanding sebagai calon pada pilihan raya kali ini, ia adalah satu penghormatan besar yang saya tidak akan ambil mudah.
“Saya percaya semua orang dalam politik akan merebut peluang sebegitu, lebih-lebih lagi jika mereka diletakkan di kawasan yang betul.
"Kami mahu menambah bilangan perwakilan wanita, bukan mengurangkannya," katanya pada Majlis Ramah Mesra Media Bersama Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda di sebuah hotel di sini kelmarin.
Untuk rekod, ketika ini DUN Bandau disandang oleh abangnya, Datuk Wetrom Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu manakala seorang lagi abangnya, Datuk Verdon Bahanda adalah Ahli Parlimen Kudat.
Bandau merupakan kawasan pilihan raya DUN baharu yang telah dipertandingkan pada tahun 2020.
Ketika ditanya sama ada nama keluarga akan memainkan peranan dalam menentukan kemenangannya sekiranya dia dicalonkan, Redonah berkata, tidak kerana kerja kerasnya untuk pengundi akan menjadi faktor utama untuk mereka pertimbangkan.
“Saya akui nama keluarga saya Bahanda mungkin memberi sedikit kelebihan kepada saya, tetapi itu bukan sebab utama saya mahu bertanding.
“Saya terlibat dalam politik sejak 2002, dan pencalonan saya bukan semata-mata berdasarkan latar belakang keluarga saya.
“Saya dan pasukan telah bekerja keras dalam bidang ini sejak sekian lama untuk menghadapi pilihan raya dan tidak akan menolak peluang untuk bertanding,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu berhasrat untuk mengukuhkan pembangunan di Sabah dan memperjuangkan suara wanita.
Katanya, komitmennya adalah untuk mencapai 30 peratus perwakilan wanita dalam jawatan pembuat keputusan.
“Perjuangan untuk 30 peratus perwakilan wanita ini bukan hanya mengenai politik tetapi meluas kepada badan pembuat keputusan merentasi agensi yang berbeza. Kami hampir mencapai 30 peratus di beberapa kawasan, tetapi belum lagi dalam politik.
“Sebagai ketua wanita, saya akan terus mengutamakan matlamat ini, bukan secara drastik, tetapi secara progresif, seperti yang dilakukan kerajaan GRS sekarang,” tegasnya.
Comments