Kg Tambatuon jadi tuan rumah program pertukaran pelajar antarabangsa
14 Januari 2025
KOTA BELUD: Kampung Tambatuon menjadi lokasi program homestay sempena aktiviti pertukaran pelajar antarabangsa pengakap Korea di Kadamaian baru-baru ini.
Program selama dua hari yang bermula pada 12 Januari itu disertai delegasi dari Korea Scout Southern Gyeonggi Federation yang terdiri daripada lima anggota.
Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kadamaian, Mirza Affendy Asah, menyifatkan program ini sebagai peluang berharga untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan memperkenalkan budaya tempatan kepada dunia.
“Pengalaman ini akan dikenang oleh delegasi Korea, dan mereka pasti membawa pulang cerita serta kenangan indah ke negara asal mereka. Ini juga membuka peluang untuk pengakap kita berinteraksi dengan dunia luar,” ujar beliau sambil menambah pelbagai aktiviti menarik turut diadakan semasa program tersebut.
Penyelaras Aktiviti Program International Exchange Program- Korea Scout Southern Gyeonggi Federation Visit Kadamaian Kota Belud, Esther Toihin, menjelaskan bahawa delegasi Korea diberi peluang mendalami seni budaya tempatan seperti memukul gong,tarian sumazau, sukan rakyat seperti gugundang, melositik, dan tarik tali.
“Slain itu, delegasi Korea turut berpeluang melawat sekitar Kampung Tambatuon, menyertai aktiviti membuat coklat secara tradisional, dan memberi makan kepada ikan jinak di sungai. Program ini bukan sekadar memperkenalkan tradisi dan budaya masyarakat Kadamaian, tetapi juga mengeratkan hubungan antara Pengakap Korea dan pengakap Kadamaian,” tambah Esther.
Menurut Esther, delegasi Korea sangat terpesona dengan muzik dan tarian tradisional Sabah serta kagum dengan keindahan alam semula jadi di Kampung Tambatuon.
“Kehadiran mereka bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada komuniti setempat, malah menjadikan para peserta sebagai duta kecil yang memperkenalkan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Comments