Kim Swee tinggalkan Sabah FC
21 November 2024
KOTA KINABALU: Selepas membimbing skuad bolasepak Sabah FC selama tiga tahun, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee membuat kejutan apabila mengumumkan keputusan untuk meninggalkan skuad The Rhinos apabila kontraknya tamat hujung bulan ini.
Menerusi satu kenyataan media pagi ini, Kim Swee bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut keputusannya itu.
Keputusan ini nyata menggemparkan peminat setia bolasepak Sabah kerana sebelum ini Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mengumumkan keputusan untuk menyambung kontrak Kim Swee sehingga tamat saingan Liga Super musim ini.
Menerusi kenyataannya, Kim Swee yang membimbing Sabah FC sejak 2022 berkata beliau memilih haluan berbeza dengan tugas terakhirnya adalah perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia, menentang PT Athletic, Sabtu ini.
"Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai ketua jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
"Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.
"Saya amat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada penyokong Sabah FC, yang disifatkannya sangat bermakna kepada pasukan.
"Anda (penyokong) adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna yang besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.
"Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya pada masa hadapan," katanya.
Kim Swee membimbing Sabah sejak 2022 menggantikan ketua jurulatih sebelum ini, Kurniawan Dwi Yulianto dari Indonesia.
Sepanjang bersama Sabah FC, Kim Swee berjaya meletakkan pasukan itu antara tiga pasukan teratas Liga Super selain layak ke kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), tahun lalu.
Comments