top of page

Kit ujian pantas (RTK) Covid-19 kini serendah RM4.90

Wartawan Nabalu News


26 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini boleh didapati dengan harga serendah RM4.90 seunit.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sudah menjadi keperluan penting bagi rakyat Malaysia untuk memiliki kit ujian kendiri Covid-19 pada masa kini ekoran penularan Covid-19 yang masih tinggi dalam negara.


“Dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, semestinya keperluan untuk membuat ujian kendiri ini menjadi lebih mendesak dan perlu dilakukan dengan kerap.


“Melalui perbincangan berterusan yang diadakan bersama KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan Malaysia, saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian ini.


“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya kelmarin.


Menurut Alexander, usaha untuk memperluaskan penjualan kit ujian kendiri kepada rangkaian sektor peruncitan di negara menyaksikan harga peranti berkenaan berjaya diturunkan sehingga mencecah paras RM6.90.


“Tetapi hari ini, saya amat gembira melihat inisiatif yang diambil oleh 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ini pada harga RM4.90 seunit.


“Kerjasama dari peniaga seperti ini amat kami hargai, bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara kita.


“Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat,” katanya.


Setakat ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang telah diberikan kebenaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page