KKDW lulus RM1.2 juta naik taraf jalan di Ranau
4 November 2024
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.2 juta telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menaik taraf jalan di tiga kawasan di Ranau, Sabah, melalui Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD).
Langkah ini dijangka memudahkan pergerakan dan meningkatkan kemudahan bagi penduduk luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, memaklumkan bahawa projek JPD ini akan melibatkan Kampung Tagudon Lama, Kampung Karanaan, dan Kampung Senaja Sinsilog.
“Permohonan-permohonan yang telah dikemukakan akan melalui proses semakan dan siasatan mengikut skop garis panduan JPD yang berkuatkuasa,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, setakat ini, KKDW telah menyiasat dan menerima permohonan projek jalan untuk Kampung Giring Ranau sahaja, manakala cadangan untuk jalan Kampung Pinawantai dan penyelenggaraan jalan Kampung Mengkapoh akan diteliti mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kommentare