top of page
nabalunews

KKM akan dedahkan hasil siasatan kematian doktor didakwa akibat buli di tempat kerja


17 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk mendedahkan hasil siasatan kematian seorang pakar perubatan patologi yang didakwa menjadi mangsa buli di Hospital Lahad Datu, Sabah.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menegaskan, tiada pihak yang akan dilindungi dalam kes ini, selaras dengan prinsip ketelusan yang diterapkan oleh KKM.

 

“Apabila dapatan diperoleh daripada jawatankuasa bebas ini kita akan mendedahkan, transparency supaya semua pihak boleh ambil iktibar dengan apa yang berlaku,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan (DAP-Ipoh Timur), Lee Chuan How yang ingin tahu sama ada KKM akan mendedahkan hasil dapatan tersebut susulan isu berkenaan mendapat perhatian umum.

 

Sebelum ini, Dzulkefly dipetik berkata, pasukan petugas khas yang dianggotai lima ahli bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes itu dan berkuat kuasa pada 10 Oktober lepas. Kesemua ahlinya bukan anggota KKM namun mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli.

 

Seorang doktor ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu didakwa disebabkan tindakan bunuh diri kerana tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

 

Perkara itu didedahkan adik mangsa, dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Tien Yaa, ditindas oleh ketua jabatan menyebabkan dia menghadapi tekanan sepanjang bertugas akibat beban kerja melampau.

 

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM telahpun mengambil inisiatif terhadap beberapa perkara bagi mengelak insiden seperti itu berulang lagi. Antaranya, melancarkan sistem MyHELP bagi membolehkan pegawai menyalurkan aduan mengenai insiden buli terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat KKM tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan.

 

Selain itu, mewujudkan Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) yang akan turun ke lapangan bagi mengenal pasti petugas kesihatan yang memerlukan bantuan awal psikologi atau Psychological First Aid (PFA).

 

KKM turut menyediakan program sokongan kepada pegawai perubatan dan petugas kesihatan lain seperti “Kintsukuroi” di hospital tertentu serta memperkenalkan program House Officer Encouragement and Reassurance Through Sharing and Support (HEARTS) bagi memberi sokongan dan membina daya tahan pegawai perubatan siswazah.

 

Di samping itu, KKM mengeluarkan “Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM” melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH). Garis panduan ini bertujuan meningkatkan kesedaran berhubung isu buli di tempat kerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat serta harmoni.

댓글


bottom of page