KKM perkenal platform WhatsApp, saluran aduan pantas kebersihan premis makanan
nabalunews

4 Mac 2025
PUTRAJAYA: Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan yang merupakan satu langkah advokasi dalam memantau kebersihan makanan di bazar-bazar Ramadan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan rasminya berkata, platform baharu itu membolehkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan kebersihan premis makanan dengan lebih mudah dan pantas.
Katanya, platform tersebut melengkapkan ekosistem saluran aduan sedia ada seperti telefon, emel, media sosial, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) serta aduan secara terus di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau JKN.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk KKM terus memperkukuh pemantauan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual di bazar memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang telah ditetapkan.
“Pemantauan dibuat merangkumi keseluruhan rantaian bekalan makanan, dari sumber bahan mentah hingga ke penyediaan dan penjualan di bazar Ramadan,” katanya.
Menurutnya, ia termasuk pemeriksaan ke atas premis penyediaan makanan, kilang ais, restoran serta gerai makanan yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, langkah itu akan memastikan kebolehpatuhan kepada perundangan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, serta mencegah risiko pencemaran dan memastikan keselamatan makanan.
“ KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati juadah berbuka puasa yang selamat, bersih dan berkualiti sepanjang bulan Ramadan, bebas daripada risiko insiden keracunan makanan.
“KKM juga menyarankan agar orang ramai mengamalkan prinsip perhati dan pilih, iaitu memilih gerai yang bersih dan pengendali yang mengamalkan amalan pengendalian makanan yang baik.
“Pengguna juga, digalakkan supaya mengamalkan langkah lihat, hidu, rasa sebelum menikmati juadah berbuka puasa sebagai langkah asas mengelakkan keracunan makanan.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan atau ingin membuat aduan mengenai keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana pusat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri JKN terdekat,” katanya.
Menurutnya, aduan juga boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di http://moh.spab.gov.my atau facebook PKKM di https://www.facebook.com/bkkm_official atau menerusi WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan di talian 012-8484378.
Comments