top of page
nabalunews

KKM sedia pertimbang pinda perundangan kekang salah guna kesihatan mental dalam sistem keadilan


26 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka kemungkinan meminda perundangan sedia ada bagi mengatasi salah guna isu kesihatan mental dalam sistem keadilan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

 

Menurut Dr Dzulkefly, meskipun masih awal untuk membuat keputusan, kementeriannya akan meneliti perkara tersebut secara menyeluruh.

 

“Saya kira ini suatu kebejatan yang perlu diambil serius, dan kita perlu melihat aspek teknikal terutamanya dalam prosedur yang terlibat,” katanya ketika sidang media Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024.

 

Beliau mengulas kebimbangan masyarakat yang bimbang kesihatan mental dijadikan alasan untuk mengelak pertanggungjawaban undang-undang, sehingga memberi kesan kepada mangsa dan keluarga.

 

Kebimbangan ini turut tercetus susulan insiden yang meragut nyawa tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu baru-baru ini akibat dirempuh seorang pemandu wanita.

 

Majlis perasmian MIH Megatrends 2024 turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Opmerkingen


bottom of page