top of page
nabalunews

KKM TERBIT PANDUAN DIET MALAYSIA DAN PIRAMID MAKANAN MALAYSIA 2020


19 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menerbitkan Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan Malaysia bagi 2020 hasil semakan semula Panduan Diet dan Piramid Makanan terbitan 1999 dan 2010 selepas mengambil kira perubahan status dan corak pemakanan penduduk di negara ini.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata semakan semula itu turut mengambil kira peningkatan penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan seperti obesiti, diabetes dan hipertensi serta saranan pengambilan nutrien terkini untuk rakyat di negara ini.

"Panduan Diet Malaysia 2020 disasarkan kepada golongan dewasa berumur 18 hingga 59 tahun. Saranan pemakanan sihat dalam panduan diet ini disampaikan melalui 14 mesej utama, iaitu lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta banyak minum air kosong setiap hari.


"Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi penting untuk meningkatkan sistem imuniti tubuh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Adham berkata pengambilan enam hingga lapan gelas air kosong sehari dapat memastikan kesihatan dan fungsi tubuh yang baik.

Jelasnya bagi memudahkan rakyat memahami dan mengamalkan pemakanan sihat, Piramid Makanan Malaysia 2020 dalam bentuk bergambar digunakan sebagai terjemahan Panduan Diet Malaysia 2020.


Beliau berkata Piramid Makanan Malaysia 2020 mengandungi empat aras dengan lima kumpulan makanan, iaitu jenis makanan pada dasar piramid perlu diambil lebih banyak berbanding makanan lain.


"Piramid Makanan Malaysia 2020 merupakan rujukan dalam perancangan pengeluaran dan import makanan negara oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan sekuriti makanan dan pemakanan penduduk.


"Rakyat juga diseru mengamalkan pengambilan makanan berdasarkan Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan Malaysia 2020," katanya. - Bernama


Comments


bottom of page