top of page

KKRM lantik syarikat konsesi selenggara Jalan Persekutuan JKR seluruh Sabah – Shahelmy

  • nabalunews
  • Apr 14
  • 3 min read


14 April 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah melantik sebuah syarikat konsesi untuk menyelenggara Jalan Persekutuan JKR seluruh Sabah.


Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmy Yahya berkata, syarikat itu telah dilantik pada 1 September 2003 untuk tempoh konsesi selama 15 tahun yang berakhir pada 31 Ogos 2018.


Katanya, Kerajaan Persekutuan kemudian bersetuju melantik semula syarikat ini untuk tempoh lanjutan selama 10 tahun bermula pada 01 September 2018 sehingga 31 Ogos 2028.


"Manakala bagi Jalan Negeri di bawah seliaan JKR Sabah, Kerajaan Negeri telah melantik satu syarikat konsesi untuk menyenggara Jalan Negeri JKR berturap seluruh Sabah," katanya.


Katanya, syarikat itu telah dilantik pada 1 September 2004 untuk tempoh konsesi selama 15 tahun yang berakhir pada 31 Ogos 2019.


"Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan tempoh syarikat ini selama 15 tahun lagi bermula pada 1 September 2019 sehingga 31 Ogos 2034," katanya.


Katanya, Kerajaan Negeri juga telah melantik 3 syarikat kontraktor untuk menyenggara Jalan Negeri JKR berturap bagi kawasan luar bandar bagi tempoh 5 tahun yang bermula pada bulan Jun 2023 sehingga bulan Jun 2028.


"Kerajaan Negeri juga turut melantik sebanyak 32 syarikat kontraktor untuk menyelenggara Jalan Negeri JKR tidak berturap (Jalan Kelikir) mengikut kawasan dan daerah.


Bagi Jalan Negeri yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah) Kerajaan Negeri telah melantik satu syarikat konsesi," katanya pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang bertanya daripada RM500 juta untuk pengendalian dan penyelenggaraan jalan raya dan jambatan, berapa syarikat dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut dan mahu perincian sejauh mana progress kerja yang telah laksanakan bagi setiap kawasan terbabit.


Shahelmy yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Kontrak penyelenggaraan itu di bawah seliaan Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


Katanya, selain dari konsesi dan kontraktor penyenggaraan jalan, Kerajaan Negeri juga telah melantik satu syarikat untuk melaksanakan kerja menaiktaraf jalan tidak berturap (kelikir dan tanah) kepada beraspal bagi seluruh Sabah.


Katanya, peruntukan penyenggaraan Jalan Negeri ini juga turut meliputi kerja-kerja penyenggaraan di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi jalan-jalan yang telah didaftarkan ke dalam sistem online MARRIS (Malaysian Road Records Information System).


Shahelmy berkata, terdapat tiga jenis kerja penyenggaraan bagi kontrak konsesi dan kontrak penyenggaraan jalan iaitu kerja penyenggaraan rutin (seperti kerja tampalan lubang, potong rumput, pembersihan papan tanda jalan, pembersihan parit, pembersihan pembetung (culvert), pembersihan jambatan dan lain-lain kerja berkaitan) kerja penyenggaraan berkala pula (seperti kerja menurap semula jalanraya, pembaikan parit, pembaikan jambatan, pembaikan pembetung (culvert), penggantian papan tanda dan lain-lain kerja berkaitan).


"Manakala kerja kecemasan (seperti kerja penyediaan lencongan jalan sementara, pembersihan runtuhan tanah, pembersihan pokok tumbang dan lain-lain kerja berkaitan).

Kerja penyenggaraan rutin dibayar kepada setiap syarikat konsesi dan kontaktor penyenggaraan setiap bulan.


Bagi kerja penyenggaraan berkala pula, pembayaran interim akan dilakukan kepada syarikat apabila kerja telah mencapai kemajuan tertentu.


Manakala bagi kerja kecemasan, pembayaran dilakukan setiap bulan bagi setiap kerja kecemasan yang dilakukan dan disiapkan pada bulan tersebut," katanya.


Katanya, kebanyakan jalan di negeri ini telah melepasi hayat reka bentuk dan tidak sesuai untuk sekadar penyelenggaraan rutin.


“Sebaliknya perlu dinaiktaraf secara menyeluruh. Menyedari hakikat ini, pada bulan Januari yang lepas Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM285 juta untuk pelaksanaan kerja pembaikan 4 jalan utama menggunakan kaedah CIPR (Cold in-place pavement recycling)," katanya.


Katanya, empat jalan utama berkenaan adalah Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon-Pitas dan Jalan Sapulut Kalabakan.


"Peruntukan khas ini adalah untuk pelaksanaan kerja selama 18 bulan yang telah bermula pada awal bulan Mac 2025 dan dijangka disiapkan pada penghujung bulan Ogos tahun 2026," katanya.


Menjawab soalan tambahan Shafie mengenai prestasi perbelanjaan dan nama-nama syarikat yang dilantik bagi tujuan seliaan di daerah-daerah, Shahelmy berkata, setakat ini prestasi mereka adalah dalam keadaan yang memuaskan. Walaupun dalam keadaan yang dikatakan memuaskan, pada tahun lepas juga pihak JKR telah mengeluarkan Non Confirmance Report (NCR).


"Saya ingin mengambil kesempatan untuk menekankan status keadaan jalan-jalan raya kita di Negeri Sabah ini.


Jalan raya kita majoritinya lebih separuh sudah melepasi tempoh had reka bentuk mereka. Perkembangan ekonomi yang dipacu oleh kemajuan pencapaian kerajaan GRS ini telah meningkatkan aktiviti ekonomi yang tinggi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page