top of page
Writer's pictureIlona Andrew

Klinik-klinik pakar di HQE ll ditutup selama dua hingga tiga bulan - Pengarah


19 Ogos 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Perkhidmatan klinik-klinik pakar di Hospital Queen Elizabeth (HQE) ll di sini ditutup sementara secara berperingkat sejak Isnin lalu (16 Ogos) berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sabah, kata Pengarah Hospital Dr Razak Tambi.


Beliau berkata tempoh penutupan dianggarkan selama dua hingga tiga bulan, bergantung kepada keadaan krisis pandemik.


"Sehubungan dengan itu, kakitangan dari klinik-klinik ini akan dimobilisasikan ke HQE l untuk membantu perawatan pesakit Covid-19 yang semakin ramai.


"Selain itu, penularan jangkitan di fasiliti ini juga boleh dibendung," katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.


Menurut Razak, kakitangan di jabatan atau unit berkenaan dikehendaki menghubungi semua pesakit untuk penundaan tarikh temujanji serta memastikan bekalan ubat-ubat pesakit adalah mencukupi.


"Rundingan kesihatan secara atas talian boleh dilakukan bagi kes-kes yang memerlukan.


"Kes-kes kecemasan atau yang memerlukan juga boleh dilihat di klinik atau Jabatan Kecemasan dan Trauma," ujarnya.


Pada hari ini (19 Ogos), Sabah mencatat sebanyak 2,583 kes baharu, tertinggi setakat ini, menjadikan bilangan kes kumulatif seluruh negeri sebanyak 113,929.

Comments


bottom of page