Wartawan Nabalu News
KLUSTER BAHARU DI KINABATANGAN LIBATKAN PEKERJA KILANG SAWIT
22 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan pekerja kilang sawit dikenali sebagai Kluster Kota Sawit di Kinabatangan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan pekerja kilang sawit yang dikesan positif COVID-19 melalui (RTK Ag) saringan bergejala pada 13 April 2021 di sebuah pusat perubatan.
“Susulan kes itu, saringan kontak rapat mendapati 13 lagi kes positif termasuk seorang tanggungan pekerja.
"Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melawat keluarganya yang tinggal di zon merah (Lahad Datu)," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Menurut Masidi, kilang terbabit ditutup sehingga hari ini manakala para pekerja pula telah dikuarantin.
"Sehubungan itu, aktiviti persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan menular ke ladang-ladang berhampiran," katanya.
Comments