Kluster baharu Sungai Pin 2 Kinabatangan, kluster tempat kerja
18 Ogos 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan di Kinabatangan hari ini dikenali sebagai Kluster Sungai Pin 2, dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan pekerja wanita, 52, warganegara Indonesia di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, Daerah Kinabatangan.
“Setelah bergejala sejak 10 Ogos 2021, kes indeks disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.
“Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 19 kes positif dalam kalangan kontak pekerja dan tanggungan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.
“Setakat ini, 20 kes positif COVID-19 telah dilaporkan termasuk 19 kes baharu,” katanya.
Comments