top of page

Komitmen Menentang Dadah: Jelajah Komuniti Kinapulidan dan Kilimu Beri Impak Positif

nabalunews


28 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


RANAU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya menganjurkan Program Jelajah Komuniti di Dewan Kampung Kilimu, di sini, kelmarin.


Program yang dianjurkan bersama Rumah Komuniti Kampung Kinapulidan dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kilimu Ranau itu berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung.


Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ranau, Georgina George berkata, program ini menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah.


Katanya, ia juga boleh dijadikan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat.


“Saya memberikan penghargaan kepada penganjur atas usaha gigih menganjurkan program yang bermanfaat ini.


“Tahniah kepada Agensi Anti Dadah Daerah Ranau atas kerjasama dengan JKKK Kampung Kilimu dan Kampung Kinapulidan untuk menjayakan program kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program berkenaan.


Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Paginatan, Hisyamudin Harun, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.


Georgina berkata, kerjasama seperti ini membuktikan komitmen semua pihak dalam usaha memerangi musuh utama negara, iaitu dadah.


Katanya, program seperti ini amat penting untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya di luar bandar.


Sementara itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk acara senamrobik, pertandingan melastik, mini funfair, kempen derma darah, sukaneka, serta cabutan tiket bertuah.


Selain itu, terdapat juga gerai jualan dan pameran bagi memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat berguna.


Menurut Georgina, pendekatan yang pelbagai ini berjaya menarik perhatian komuniti setempat khususnya golongan muda untuk terlibat secara aktif.


Katanya, aktiviti seperti ini bukan saja menghibur tetapi juga mendidik masyarakat pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat.


"Penganjuran program sebegini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pihak agar impak positifnya dapat dirasai secara meluas." katanya.

Tags:

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page