Kompleks pendaratan ikan di Sandakan manfaatkan nelayan
2 Disember 2024
SANDAKAN: Cadangan pembinaan Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu 2, Jalan Leila, Sandakan akan menyediakan kemudahan pendaratan ikan kepada nelayan setempat dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 1,135 orang nelayan.
Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan ketika ini LKIM telah menjalankan kajian kesesuaian tapak bagi tujuan melengkapkan laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA).
LKIM juga telah mengemukakan data kerja ukur dan cadangan pelan susun atur komponen Kompleks Pendaratan Ikan Sandakan kepada perunding bagi tujuan penyediaan pelan pembangunan dan pelan-pelan lain yang berkaitan bagi mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Keseluruhan proses sehingga kelulusan PBT dijangka selesai pada pertengahan tahun 2026.
KPKM menyatakan perkara itu menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Dewan Rakyat hari ini yang bertanya kepada Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai status terkini bagi Projek Kompleks Pendaratan Ikan di Sandakan.
Vivian juga bertanya bilakah projek ini akan disiapkan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh nelayan tempatan sejak sekian lama.
Menerusi jawapan KPKM lagi, agensi di bawahnya, LKIM juga bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan pendaratan, pengendalian, penyimpanan dan pemasaran ikan.
Pada masa kini, terdapat 48 buah kompleks labuhan perikanan di bawah seliaan LKIM di seluruh negara.
Bagaimanapun, ketika ini, negeri Sabah masih belum mempunyai kompleks labuhan perikanan LKIM dan Sandakan dicadangkan untuk pembinaan kompleks perikanan itu yang dicadang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Comments