Komuniti Bundu Paka Kadamaian Gotong-Royong Bersihkan Tangki Tadahan Air Graviti
Oleh : Romie Stanley Deukin
7 Oktober 2024
KOTA BELUD : Kampung Bundu Paka, Kadamaian yang terdiri daripada kira-kira 30 buah rumah di sini, amat bergantung kepada bekalan air graviti untuk kegunaan seharian.
Sehubungan itu pembersihan tangki tadahan air graviti di kampung berkenaan adalah amat penting bagi menjamin kualiti air yang bersih dan
selamat untuk keperluan seharian penduduknya.
Pada 28 September yang lalu, komuniti Kampung Bundu Paka, Kadamaian, sepakat untuk menganjurkan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan tangki air di kawasan tadahan air graviti di Dongu Bundu Paka.
Program tahunan ini bertujuan memastikan kualiti bekalan air yang bersih dan selamat terus terpelihara bagi kegunaan harian penduduk kampung.
Program gotong-royong ini melibatkan Biro Keselamatan dan Kesihatan Kampung bersama-sama dengan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bundu Paka, Mujin Soborong berkata selain menjaga kebersihan tangki air, program ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat perpaduan, kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan penduduk kampung.
Mujin turut menyampaikan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, atas sumbangan sebanyak RM10,000 kepada tabung JKKK.
"Sumbangan ini amat membantu dalam usaha memperbaiki kemudahan kampung, termasuk penambahbaikan sistem tadahan air graviti.
"Komitmen yang ditunjukkan oleh YB Datuk Ewon Benedick melalui sumbangan ini membuktikan keprihatinan beliau terhadap pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk kampung.
Ini juga menjadi dorongan kepada kami untuk terus menjaga dan meningkatkan kemudahan yang ada demi manfaat bersama," tambah Mujin.
Ringkasnya, aktiviti gotong-royong ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamat pembersihan tangki tadahan air graviti Kampung Bundu Paka, Kadamaian, tetapi juga ia turut menyemarakkan semangat kerjasama dalam komuniti Kampung Bundu Paka, di samping memastikan keperluan asas seperti bekalan air bersih terus terjaga.
Comments