Komuniti KUK Zon Apin-Apin Meriahkan Perayaan Paskah dan Ulang Tahun Kepaderian
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

22 April 2025
KENINGAU: Komuniti Umat Katolik (KUK) Zon Apin-Apin meriah menyambut Perayaan Paskah dan kesyukuran ulang tahun ke-2 Kepaderian Rev. Fr. Appolonius Yakis yang diadakan di Dewan Gereja St. Anthony Abbot, Apin-Apin.
Sambutan ini berlangsung selepas Misa Minggu Paskah yang turut disertai oleh umat dari kawasan sekitar. Acara ini bukan sekadar memperingati kebangkitan Kristus, tetapi turut memberi penghormatan kepada sumbangan dan dedikasi Rev. Fr. Appolonius sepanjang dua tahun dalam pelayanan rohani.
Pengerusi KUK Gereja St. Anthony Abbot Apin-Apin, Prisca Payayau, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan persiapan sepanjang minggu suci Paskah.
“Sambutan ini tidak akan sempurna tanpa usaha dan komitmen semua ahli komuniti. Terima kasih atas kerjasama yang padu,” katanya.
Antara tetamu yang turut hadir memeriahkan majlis termasuk Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau, Jeffsonzo Japrin serta Penyelaras Parti Tindakan Demokratik (DAP) Keningau, Grelydia Gillod. Kehadiran mereka menunjukkan sokongan terhadap keharmonian antara agama dan komuniti tempatan.
Sambutan ini juga menjadi platform memperkukuh hubungan antara ahli komuniti yang pelbagai latar belakang, seiring dengan mesej Paskah yang menggalakkan perdamaian, kasih sayang, dan perpaduan.
Bagi umat Gereja St. Anthony Abbot, Paskah tahun ini lebih bermakna dengan perayaan berganda – memperingati kebangkitan Kristus dan merayakan ulang tahun pelayanan seorang pemimpin rohani yang disayangi.
Diharapkan agar semangat Paskah terus membakar dalam hati umat, memperkuat iman serta semangat untuk saling menyayangi dan menyokong antara satu sama lain.
Comments