Kontrak Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC dilanjutkan sehingga 30 April 2025
5 November 2024
KOTA KINABALU: Mesyuarat Khas bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) serta Sabah FC sebulat suara bersetuju melanjutkan kontrak Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee sehingga penghujung musim 2024/2025 berakhir pada 30 April tahun depan.
Presiden SAFA, Datuk Shahelmey Yahya berkata, keputusan ini diambil berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pasukan ketika ini.
Kontrak pengendali Sabah FC itu sepatutnya berakhir pada 30 November ini.
Katanya, khabar gembira ini membolehkan Ketua Jurulatih itu meneruskan momentum kemenangan Sabah FC dan meningkatkan prestasi terbaik pasukan seterusnya memperbaiki kedudukan di carta liga dalam menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula hujung bulan ini.
“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Ong Kim Swee akan dapat memperbaiki kedudukan di carta liga sekali gus lebih bersemangat menghadapi kempen Piala Malaysia pada tahun ini.
Selain itu, pihak pengurusan juga berharap agar lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bagi memberikan sokongan untuk menambah semangat dan keyakinan kepada pemain.
“Ini akan membantu moraliti pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan liga super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi,” kata Shahelmey.
Yorumlar