Kontraktor Pan Borneo diberi amaran, pastikan projek siap ikut jadual
top of page
nabalunews

Kontraktor Pan Borneo diberi amaran, pastikan projek siap ikut jadual

5 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberikan amaran kepada semua kontraktor yang terlibat dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, agar memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.


Amaran ini ditujukan khusus kepada kontraktor yang baru sahaja menerima surat lantikan untuk memulakan kerja bagi Fasa 1B, yang melibatkan 19 pakej projek bernilai keseluruhan RM13.9 bilion.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menegaskan bahawa beliau tidak mahu melihat sebarang kelewatan dalam pelaksanaan 19 pakej tersebut, kerana sebarang kelewatan boleh memberi impak besar terhadap tempoh siap projek dan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah.


Beliau juga menyatakan bahawa kementerian akan terus memantau perkembangan projek dengan rapi dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang kelewatan atau pelanggaran kontrak.


Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini merupakan projek infrastruktur penting yang bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan kesalinghubungan di negeri itu, sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta kesejahteraan penduduk.


“Kita memberi amaran kepada semua kontraktor, kita mesti elak masalah atau isu yang mengekang perjalanan projek ini. Kita belajar daripada apa yang menyebabkan kelewatan sebelum ini.


“Kita mohon kepada semua pihak, lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang terbabit supaya kerap bermesyuarat dan memastikan koordinasi semua pihak supaya kontraktor dipantau dengan rapi,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Pakej Kerja Fasa 1B kepada 13 kontraktor, di sini, malam semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.


Pakej kerja (WP) itu merangkumi Jajaran Barat Laut, iaitu WP11 hingga WP14 yang bermula dari Kota Belud ke Kudat; Jajaran Tenggara, WP16 – WP20 (Tawau ke Lahad Datu); Jajaran Timur Laut, WP22 – WP26 (Lahad Datu ke Sandakan) dan Jajaran Tengah, WP31 – WP35 (Telupid ke Ranau).


Alexander berkata, kerja pembinaan di semua jajaran terbabit boleh dimulakan pada bila-bila masa dan mereka digesa supaya masuk ke tapak segera dan tidak melengah-lengahkannya.


Bagi Fasa 1A yang membabitkan sebanyak 16 pakej sebelum ini, katanya kerja pembinaan kini mencapai 78 peratus selepas projek dimulakan pada 2016.


Katanya, berikutan pelbagai masalah yang menjejaskan pelaksanaan projek Fasa 1A sebelum ini, pihaknya menegaskan mahu projek bagi fasa itu siap keseluruhannya pada suku kedua 2026.


Tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B adalah di antara 36 bulan hingga 48 bulan dengan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page