Konvoi Tenom 2025 Kukuhkan Semangat Kekeluargaan Ahli KKBFWDC

19 Februari 2025
KOTA BELUD : Kelab Permotoran Pacuan Empat Roda Kadamaian (KKBFWDC) telah menganjurkan Program Konvoi Tenom 2025 dari 7 hingga 9 Februari 2025 yang lalu dan disertai oleh 34 ahli bersama keluarga mereka. Program ini bertujuan merehatkan minda, mengukuhkan hubungan kekeluargaan, dan memberikan pengalaman baharu melalui aktiviti pelancongan berasaskan agro pertanian.
Konvoi kali ini melibatkan lawatan ke beberapa destinasi menarik di sekitar Tenom, termasuk Taman Pertanian Lagud Sebrang dan Padas Farmstay yang terkenal dengan ladang limau kasturi dan kopi. Sepanjang program, peserta bukan sahaja menikmati keindahan alam semula jadi tetapi turut mendapat pendedahan tentang kaedah penanaman dan pemprosesan hasil pertanian.
Sepanjang lawatan ke Padas Farmstay, peserta diiringi oleh pemilik ladang, Tham Yau Siong, yang memberikan penerangan terperinci mengenai proses penanaman limau kasturi dan kopi. Beliau turut berkongsi kaedah pengeringan dan pemprosesan biji kopi sehingga siap untuk dipasarkan.

Peserta berpeluang memahami secara mendalam teknik penjagaan tanaman dan cabaran dalam industri agro pertanian. Selepas sesi lawatan, semua peserta dijamu dengan minuman tradisional air asam boi, sambil Tham berkongsi pengalaman beliau mengenai pemasaran hasil pertanian serta potensi ekonomi melalui penanaman kopi.
Menurut Arechon Dusin, selaku Pengerusi penganjur kelab, objektif utama program ini adalah untuk membina hubungan erat antara ahli dan keluarga sambil menikmati perjalanan santai yang memberi manfaat.
"Kami mahu ahli kelab dan keluarga merehatkan minda daripada rutin harian sambil mempelajari sesuatu yang baharu. Lawatan ini juga diharap dapat membuka peluang kepada peserta untuk menceburi bidang agro pertanian di komuniti mereka," jelas Arechon.
Program ini turut dikendalikan oleh Majinih Sipin selaku Timbalan Pengarah, Lajimin Pansang sebagai Setiausaha, serta Manisseh Yakun yang memegang jawatan Bendahari kelab, Ahli jawatankuasa lain yang terlibat termasuk Alexius Sagun dan Jinih Santi, yang memastikan kelancaran setiap aktiviti sepanjang konvoi.
Walaupun program berlangsung dalam keadaan cuaca mencabar, termasuk hujan lebat dan banjir di sekitar Tenom, ia tidak mematahkan semangat peserta. Semua ahli tetap bersemangat meneruskan aktiviti yang dirancang, membuktikan komitmen dan semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti KKBFWDC.
Peserta menyifatkan lawatan ini sebagai pengalaman bermakna yang bukan sahaja memberikan ilmu baru tetapi juga mencetuskan inspirasi untuk membangunkan ekonomi keluarga melalui sektor agro pertanian.
"Kami sangat berpuas hati walaupun perlu meredah hujan. Program ini memberi pengalaman baharu dan membuka mata kami tentang potensi ekonomi dalam pertanian," kata salah seorang peserta.
Dengan kejayaan Konvoi Tenom 2025, KKBFWDC berhasrat untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang, demi memperkukuh hubungan silaturahim dan menyemai minat terhadap pertanian dalam kalangan ahli kelab.
Comments